
YAMAHA BAIK PULIH MOTOR SANGKUT PC-3 YELLOW HAT!
Projek baik pulih kereta dan motosikal sudah biasa kedengaran. Ini pula projek baik pulih yang begitu jarang diketengahkan iaitu motor sangkut!
Rupa-rupanya bukan sahaja pikap kecil dan motosikal seperti Honda Cub yang menjadi pemangkin sosio-ekonomi Jepun tetapi juga motor sangkut.
Motor sangkut Yamaha bukan asing dan boleh ditemui di atas air di serata dunia.
Tonggak utama kebolehpercayaan jenama yang dinikmati hari ini ialah Yamaha PC-3 3 hp yang dikeluarkan pada tahun 1963. Satu lagi yang menarik, PC-3 turut dikenali sebagai Yellow Hat.
PC-3 pada mulanya banyak digunakan di perkampungan nelayan di Jepun sebelum dieksport ke pelbagai negara lain, membantu menjadikan Yamaha sebagai pemain dalam pasaran motor sangkut.
Sebagai rakan kepada perikanan persisiran pantai, PC-3 menjadi popular di perkampungan nelayan Jepun dan juga aktif digunakan di laluan air dan terusan untuk pengangkutan.
PC-3 yang dibaik pulih Yamaha Marina dalam tempoh kira-kira setahun kini dengan bangganya dipamerkan untuk pengunjung di Communication Plaza, muzium korporat Yamaha.
Meneruskan Semangat Jurutera kepada Generasi Akan Datang
PC-3 ditanggalkan dengan teliti dan perkakasannya diasingkan untuk menentukan kegunaannya.
Perkakasan yang boleh digunakan semula dibersihkan dan dibaiki, dan bahagian yang tidak dapat digunakan dibuat semula melalui kajian menyeluruh terhadap bahagian asalnya.
Masafumi Suzuki, presiden Yamaha Marina Co., Ltd., berkongsi,
“Saya dahulu bekerja dalam perniagaan Produk Marin untuk pasaran luar negara dan kadang-kadang akan menemui PC-3 yang dipamerkan di pengimport di Amerika Selatan dan Timur Tengah.”
“Individu di negara lain mungkin sebenarnya lebih menekankan asal-usul dan akar produk kami daripada kami di Jepun.”
Tradisi Monozukuri Ditemui
Pihak muzium menghubungi Yamaha Marina Hamanako pada musim bunga lalu dengan idea ini.
Hisashi Uchida dan Wataru Tsuboi biasanya bekerja untuk memastikan bot pemilik di marina dalam keadaan baik.
Walaupun di luar skop tugas mereka, mereka bersetuju untuk melakukannya dan berpendapat ianya tugas yang berbaloi dan patut dilakukan.
Memulihkan motor sangkut lama dan rosak kembali ke keadaan kilang bukanlah tugas yang mudah. Uchida menyatakan;
“Kami mendapatkan nasihat daripada jurutera yang telah bersara dengan pengetahuan tentang era itu dan mereka juga memberi kami cetakam biru dan bahan lain.
“Tiada apa-apa yang boleh kami lakukan tentang getah yang telah rosak dan sebagainya, tetapi kami masih ingin memulihkannya menggunakan perkakasan asli sebanyak mungkin (berbanding pengganti baharu.”
Di antara cabaran yang dihadapi mereka seperti mengambil lebih dari setengah hari untuk mengeluarkan satu skru yang berkarat atau cetakan biru yang dilukis tangan dan dokumen yang sukar difahami.
Walaupun demikian, mereka membuat banyak penemuan berharga semasa projek itu.
Apabila Tsuboi membuka enjin, beliau terkejut melihat bahawa ia mempunyai silinder tanpa pelapik (sleeveless).
“Saya benar-benar kagum bahawa syarikat mempunyai kepakaran pemesinan dan ketepatan untuk menghasilkan silinder tanpa pelapik pada masa itu.”
Uchida, pula, merasakan komitmen jurutera terhadap reabiliti yang tidak diragukan lagi.
“Jika motor sangkut rosak semasa di laut, ia boleh membahayakan nyawa anda, jadi melihat bahan yang mereka pilih dan kecerdikan susun atur motor mendedahkan kaitan dengan apa yang masih kami lakukan sehingga hari ini untuk Reabiliti Yamaha.”
Tidak bermula dengan positif dan asal-usul Yellow Hat
Kaoru Matsuo, Penyunting dari Bahagian Komunikasi Korporat Yamaha, mengulas tentang permulaan motor sangkut Yamaha yang tidak semudah disangka.
Menurut beliau, motor sangkut pertama Yamaha ialah P-7 7 hp yang dikeluarkan pada tahun 1960 namun mengalami masalah reabiliti dan tidak berjaya memenangi hati nelayan.
PC-3 3 hp, yang dikeluarkan setahun kemudian, dilengkapi dengan klac untuk memudahkan penggunaan. Model inilah yang menjadikan motor sangkut Yamaha terkenal di pelabuhan di Jepun.
Tangki bahan api bulat berwarna kuning PC-3 direka oleh seorang wanita, menjadikannya kelihatan mesra dan sering dilihat.
Dikatakan bahawa Yellow Hat Yamaha ini telah mengubah wajah perikanan pantai Jepun.




