Motosikal

YAMAHA STAR VENTURE TAK CUKUP BESAR? NAH KAU YAMAHA STAR ELUDER 2018

Selera orang memang payah kita nak jangka. Ambil contoh motosikal. Kalau sesebuah motosikal itu sudah cukup berkuasa dan bersaiz besar untuk kita, orang lain belum tentu lagi.

Memahami wujud kelompok pembeli sebegitu, Yamaha baru-baru ini memperkenalkan motosikal bagger yang dikenali sebagai Yamaha Star Eluder.

Sedia maklum, beberapa bulan lalu Yamaha ada melancarkan model Star Venture. Model touring itu disasarkan untuk pasaran Amerika Syarikat dan Eropah yang sememangnya menggemari motosikal sebegitu.

Star Eluder dilihat akan bersaing secara langsung dengan model-model seperti Honda Gold Wing FB6 dan CTX1300. Sama seperti Star Venture, jentera itu dikuasakan oleh enjin V-Twin dengan sistem penyejukan udara bersesaran 1,854cc.

Tipikal sebuah bagger, jentera itu dipasang dengan beg sisi dan fairing. Berbeza dengan Star Venture, kotak belakang pada Star Eluder dibuang dan cermin pelindung anginnya dipendekkan.

Star Eluder juga tidak dibekalkan dengan sistem Communications Suite Yamaha. Namun begitu, ia masih dilengkapi ciri pemanas pada tempat duduk untuk penunggang dan pembonceng.

Memandangkan Star Eluder lebih ringan, Yamaha tidak memasukkan sistem undur elektrik Sure Park sebagai satu ciri standard. Jadi, penunggang perlu lebih rajin pergi angkat besi untuk menolak motosikal besar ini.

Untuk pasaran AS, Star Eluder hadir dalam warna biru, hitam dan perak dengan kemasan merah pada bahagian rim.

Ditawarkan pada harga bermula AS$22,499 (RM94,400) seunit, ia dijangka memasuki pasaran lewat tahun hadapan, memandangkan Yamaha telah melewatkan sedikit produksi Star Venture.

BACA: YAMAHA STAR VENTURE 2018 – JENTERA TRANSCONTINENTAL TOURING MEWAH, MAHU LAWAN HONDA GOLD WING

GALERI

 

Google ads
Back to top button