Buletin

CONTINENTAL PERKENALKAN DUA TEKNOLOGI TAYAR KONSEP UNTUK LEBIH KESELAMATAN DAN KESELESAAN

Hanover, September 2017. Continental telah memperkenalkan dua teknologi tayar konsep yang akan menyumbang kepada lebih keselesaan dan keselamatan di masa akan datang. Dua sistem ini akan berupaya mengawasi keadaan tayar selain menyesuaikannya dengan situasi berdasarkan keadaan permukaan jalan. Kedua teknologi ini dikenali dengan nama ContiSense dan ContiAdapt, akan mula diperkenalkan kepada umum di Frankfurt Motor Show 2017 diikuti dengan satu kajian tentang tayar.

ContiSense diasaskan daripada pembangunan getah kompaun yang berupaya mengalirkan arus elektrik bagi membolehkan isyarat dihantar dari sensor pada tayar ke unit penerima di dalam kereta. Sensor berasaskan getah tersebut akan mengawasi keadaan tayar khususnya kedalaman bunga dan suhu sepanjang masa. Ia akan sentiasa membuat ukuran sama ada ia berada di bawah had yang ditetapkan ataupun sudah melepasinya seterusnya memberi makluman kepada pemandu.

Jika ada objek yang telah menembusi tayar, litar dalaman tayar akan diputuskan seterusnya isyarat amaran dihantar kepada pemandu dengan serta merta. Ianya bertindak jauh lebih pantas daripada sistem sekarang yang hanya memberi maklumat kepada pemandu bila tekanan tayar sudah terlalu rendah.

Pada masa hadapan, sistem ContiSense akan menggunakan sensor tambahan yang boleh diguna pakai secara individu. Jadi maklumat tentang keadaan permukaan jalan, seperti suhu dan wujudnya salji boleh ‘dirasai’ oleh tayar dan menyampaikannya kepada pemandu. Data juga boleh dipancarkan menerusi sistem elektronik kenderaan menggunakan sambungan bluetooth ataupun aplikasi telefon pintar.

BACA: CONTINENTAL- MENANGI ANUGERAH PEMBUAT TAYAR TAHUNAN 2017

ContiAdapt pula menggabungkan beberapa processor mikro yang diintegrasikan pada rim dan mampu menyelaraskan tekanan udara berdasarkan kelebaran rim. Sistem ini juga akan berupaya mengubahsuai titik sentuhan tayar dengan permukaan jalan berdasarkan keperluan untuk meningkatkan keselesaan dan keselamatan.

Empat pilihan tetapan memberikan adaptasi yang sesuai untuk keadaan jalan basah, tidak rata, licin ataupun keadaan biasa. Contohnya, titik sentuhan yang kecil digabungkan dengan tekanan udara tayar yang tinggi adalah amat sesuai dan menjimatkan sewaktu memandu di jalan raya yang rata dan kering.

Sebaliknya, titik sentuhan yang besar dengan tekanan udara rendah akan memberikan cengkaman yang lebih baik sewaktu memandu di jalan raya yang licin. Sistem ini membolehkan tetapan udara tayar dilaras di bawah tahap 1 bar untuk memudahkan kenderaan keluar daripada kawasan bersalji.

ContiSense dan ContiAdapt dilengkapkan dengan tayar-tayar konsep yang membolehkan kita menikmati faedah yang diceritakan tadi. Rekaan tayar dengan tiga corak berbeza adalah khusus untuk pemanduan di kawasan basah, licin ataupun kering. Berdasarkan tekanan tayar dan kelebaran rim, zon dengan bunga berbeza akan diaktifkan berdasarkan keadaan permukaan jalan. Ia juga boleh dilaras mengikut kehendak pemandu itu sendiri.

Continental menganggap teknologi tayar konsep ini merupakan penyelesaian kepada masalah mobiliti di masa akan datang. Ia juga menjadi satu keperluan jika satu hari nanti kenderaan EV sepenuhnya dan kenderaan autonomi menjadi satu kenyataan.

Tayar-tayar ini boleh dilaraskan mengikut kehendak pemandu berdasarkan perubahan dalam keadaan cuaca. Ia juga merupakan kesinambungan kepada teknologi sensor REDI yang diperkenalkan oleh Continental pada tahun 2014. Ia memfokuskan kepada komunikasi pintar antara tayar dengan kenderaan.

Tayar-tayar ini juga mengaplikasikan teknologi ContiSeal untuk menutup kesan kebocoran secara automatik dan ContiSilent untuk tayar yang lebih senyap. Continental sememangnya lebih dari mampu untuk melakukannya dengan pengalaman melebihi satu abad dalam pembuatan tayar dan keupayaan pakar-pakar IT dan elektronik kenderaan mereka sendiri. Mereka juga sedang menyesuaikan sistem ini untuk kegunaan kereta-kereta autonomi dan EV suatu hari nanti.

Tags
Google ads
Back to top button