VinFast – INILAH 2 MODEL KERETA NASIONAL PERTAMA VIETNAM

SHARE

Dalam masa negara kita masih lagi berdebat tentang kereta nasional ketiga, Vietnam pula sedang bersiap sedia untuk melancarkan kereta nasionalnya yang pertama iaitu VinFast pada Pameran Kenderaan Paris bermula 2 Oktober depan.

Bukan satu tetapi dua buah VinFast bakal dipertontonkan iaitu kereta penumpang dan SUV.

Melalui pameran tersebut VinFast akan menonjolkan falsafahnya iaitu ‘Vietnamese – Style – Safety – Creativity – Pioneering’ yang dibangunkan oleh studio reka bentuk Itali terkenal Pininfarina.

Apa yang menarik ialah VinFast memberi peluang kepada rakyat Vietnam bagi menentukan rekaan kereta ini. Lebih daripada 62,000 orang telah mengundi melalui 20 lakaran yang dihasilkan oleh Pininfarina.

Lakaran konsep yang dipilih kemudiannya dihasilkan oleh studio itu yang merupakan sejarah penting buat rakyat Vietnam.

Berikut ialah ciri-ciri dua model pertama VinFast:

  • Menggunakan konsep timeless dengan jarak roda yang panjang dan bentuk elegan
  • Bonet panjang, but stail tradisional dan garisan badan melintang bagi membentuk gayaan simetri, sofistikated dan elegan dalam menghasilkan sebuah sedan premium
  • SUV pula mempunyai gayaan maskulin terutama sekali pada bahagian depan
  • Jika Proton mempunyai elemen tradisional Melayu seperti wau, keris, ukiran dan tenunan songket, kereta ini pula tegar dengan identiti V yang memberi maksud Vietnam, VinFast dan Vingroup serta garisan badan yang menunjukkan keindahan semulajadi Vietnam serta karakter kemesraan dan dinamik warganya

Selain tontonan rasmi di Paris bulan depan, VinFast tidak mendedahkan butiran rasmi mengenai ciri-ciri lain seperti nadikuasa, harga dan pasarannya. Pada penghujung tahun pula, kedua-dua model ini akan dipertontonkan kepada khalayak ramai di Vietnam.

VinFast juga adalah syarikat automotif Vietnam pertama yang mengambil bahagian dalam pameran kereta antarabangsa dan ini menunjukkan semangat kental dan keyakinan syarikat.

Dengan pengenalan VinFast ini secara langsungnya bermakna ASEAN mempunyai tiga jenama sendiri. Mungkin empat apabila kereta nasional ketiga menjadi kenyataan.

BACA: PININFARINA BANTU REKA KERETA PERTAMA VIETNAM – VINFAST

Share this post

scroll to top