Pandu Uji

PANDU UJI: KENAPA HONDA HR-V RS INI LEBIH MANTAP?

Sejak diperkenalkan buat pertama kalinya pada Februari 2015, SUV kompak Honda HR-V terus mendapat sambutan hangat sehingga kini.

Dilihat terus menguasai takhta segmennya, HR-V dilapor menyumbang hampir 30 peratus kepada jualan keseluruhan Honda Malaysia.

Bagi memastikan momentum jualan tidak malap, Honda Malaysia ada memperkenalkan beberapa bentuk penambahbaikan ke atas HR-V dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Misalnya, pengenalan warna merah (Dark Ruby Red Pearl) pada Mei 2016 dan HR-V Mugen Edisi Terhad pada Februari 2018.

Kini, sudah tiba masanya untuk HR-V facelift diperkenalkan. Pada majlis sambutan Hari Raya Julai lalu, Honda Malaysia membuat kejutan apabila mempamerkan satu varian baru iaitu HR-V RS. Sebelum ini, varian HR-V terdiri daripada S, E dan V.

Baru-baru ini, saya dijemput untuk menjalani sesi pandu uji ringkas HR-V RS di Lapangan Terbang Rekreasi Putrajaya. Pandu uji itu bertujuan untuk menguji keberkesanan dua ciri baru pada HR-V RS yang sememangnya membuatkan ia lebih mantap di atas jalan raya.

Sistem Stereng Variable Gear Ratio (VGRSS)

Ciri pertama ialah Sistem Stereng Variable Gear Ratio (VGRSS). Ini merupakan sistem stereng yang berfungsi mengubah nisbah gear dan jumlah sudut stereng secara automatik berdasarkan kepada kelajuan kereta.

Bagi membolehkan perbezaannya dirasai, saya bermula dengan memandu model HR-V sedia ada dalam ujian slalom. Sterengnya rasa sedikit ringan dan pemandu perlu memusing gear dengan lebih banyak.

Sebaliknya apabila memandu HR-V RS, stereng dirasakan dapat memberi input lebih baik dengan sudut stereng yang lebih kecil. Jadi, anda akan rasa lebih yakin dan pergerakan tangan juga dapat diminimumkan.

Dalam pemanduan dunia sebenar, ciri ini sememangnya berguna ketika memandu di laluan yang banyak selekoh. Sekali gus dapat mengurangkan keletihan dan menawarkan kualiti pemanduan lebih sporty.

Anda juga pasti menghargai ciri ini ketika hendak mengambil selekoh atau masuk ke ruang parkir kerana VGRSS akan menambah baik maklum balas stereng.   

Jika di lebuh raya dan memandu pada kelajuan tinggi pula, VGRSS akan meningkatkan sudut stereng untuk menjadikannya kurang sensitif atas sebarang pergerakan kecil, seterusnya mengurangkan risiko oversteering dan menjadikan kenderaan semakin stabil. 

Honda LaneWatch

Ciri keselamatan tambahan yang mula diperkenalkan pada sedan Honda Accord sebelum diikuti oleh Honda CR-V itu kini dipasang untuk HR-V RS.

Honda LaneWatch berfungsi memaparkan imej objek yang ada pada titik buta sebelah kiri apabila pemandu mengaktifkan lampu isyarat membelok.

Ia berfungsi menerusi sebuah kamera yang dipasang pada cermin sisi sebelah penumpang. Jadi, pemandu dapat melihat apa yang ada berhampiran keretanya sebelum masuk ke selekoh atau menukar haluan dengan selamat.

HR-V RS masih menggunakan enjin sama iaitu SOHC i-VTEC bersesaran 1.8 liter. Berupaya menjana kuasa sehingga 141hp dan tork 172Nm, enjin itu dipadankan dengan kotak gear CVT.

Sudah dibuka untuk tempahan, Honda Malaysia menyatakan bahawa varian ini akan dilancarkan tidak lama lagi.

GALERI

Google ads
Back to top button