#1 NAMA RASMI CROSSOVER ELEKTRIK SMART
smart mengambil keputusan untuk menggunakan format penamaan alfanumerik untuk crossover elektrik pertama jenama itu, di mana ia kini dikenali sebagai #1.
smart #1 merupakan versi produksi kepada model Concept #1 yang telah diperlihatkan sebelum ini, dan akan mula dijual di Eropah dan China pada masa akan datang.
Menurut syarikat itu, model #1 mempunyai nilai pekali seretan (drag coefficient) serendah 0.29 sahaja yang membolehkan ia bergerak dengan lebih jauh untuk sekali cas penuh.
Antara yang menyumbang kepada nilai tersebut adalah rekaan pemegang pintu yang terbenam, gril aktif, serta rekaan badan yang lebih aerodinamik.
Menurut naib presiden jualan, pemasaran dan selepas jualan global smart, Daniel Lescow berkata, “sebagai produk pertama yang dilancarkan selepas penjenamaan semula dibuat, smart #1 dilihat menggandingkan teknologi pemanduan elektrik dan kualiti premium dengan baik.
“Saya percaya smart #1 mampu memikat golongan sasaran di China dan Eropah, menetapkan trend baharu di dalam mobiliti urban, selain mencipta pengalaman jenama yang berkuasa di mana sahaja ia muncul.
Selain daripada reka bentuk yang moden, smart #1 juga turut dilengkapi dengan ciri pintar, seperti fungsi memecahkan ais bagi mengelakkan pemegang pintu sukar berfungsi ketika musim sejuk, bateri dengan ciri pra-pemanasan untuk berfungsi dengan lebih optimum, serta sokongan sistem ESP Bosch.