Buletin

10 KERETA POLIS KEJAR SEORANG PEMANDU WANITA DI IPOH, DAH MACAM GTA!

Aksi seperti dalam adegan permainan video Grand Theft Auto (GTA) berlaku apabila 10 kereta polis mengejar seorang pemandu wanita di sepanjang Jalan Ipoh–Lumut semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian tersebut berlaku ketika sepasukan polis sedang melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar pekan Batu Gajah kira-kira 2.50 pagi.

Ketika rondaan dilakukan, terdapat seorang wanita berkelakuan mencurigakan menaiki kenderaan serba guna berwarna putih.

Pasukan polis cuba menahannya, tetapi dia mula memandu secara melulu dan memecut di sepanjang Jalan Gopeng, Jalan Ipoh-Kampar, Jalan Malim Nawar hingga ke jalan mati di Malim Nawar.

Lapan kenderaan polis dari Unit rondaan motosikal Batu Gajah, unit kenderaan peronda bergerak Batu Gajah, unit kenderaan peronda bergerak Kampar, dan ibu pejabat polis daerah Kampar turut membantu dalam aksi kejar mengejar sejauh 65 kilometer itu.

Mohamad Roy Suhaimi berkata ketika pemandu wanita itu menemui jalan buntu, dia bukannya memberhentikan kenderaannya, malah dia merempuh beberapa kereta polis termasuk cuba melanggar seorang anggota polis yang berdiri di belakang kenderaannya.

“Anggota polis itu terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar belakang kiri, sebelum dia melarikan diri,” Jelas beliau lagi.

Wanita tersebut akhirnya berjaya ditahan setelah enjin keretanya mengalami kerosakan selain tayarnya pecah pada KM29.

Ketika polis memeriksa kenderaan itu, mereka tidak menemui apa-apa lalu dibawa ke ibu pejabat polis Batu Gajah untuk pemeriksaan lanjut.

Wanita tersebut juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah selain tiada kesan dadah didapati ketika ujian air kencing dilakukan.

Kejadian tersebut menyebabkan lima kenderaan polis yang terlibat rosak ketika cubaan melarikan diri.

Punca wanita itu cuba melarikan diri daripada polis mungkin disebabkan oleh ketakutan, marah dan tekanan yang teruk. Wanita itu direman bermula semalam hingga 8 Disember bagi membantu siasatan polis. – New Straits Times

Google ads
Back to top button