Motosikal

CUBA CURI MOTOSIKAL POLIS, LELAKI DITAHAN

Cubaan seorang lelaki mencuri motosikal milik anggota polis yang diletakkan di tempat letak kenderaan di Hospital Ampang mengundang padah apabila ditahan kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, anggota polis terbabit yang sedang bertugas di Pondok Polis Hospital Ampang dimaklumkan orang awam melihat seorang lelaki mencurigakan menolak sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu disedari orang awam selepas melihat suspek berusia 34 tahun menolak sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Anggota polis terbabit kemudian ke lokasi dan bertanya suspek mengapa cuba mengalih motosikal itu. Bagaimanapun suspek gagal memberi alasan munasabah dan disyaki ingin mencurinya.

“Polis itu kemudian merampas motosikal itu dan menahan suspek untuk tindakan lanjut,” katanya.

ßemakan mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing juga positif dadah. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan. – Harian Metro

Google ads
Back to top button