Buletin

ACURA BANGUNKAN INTEGRA TYPE S, 2.0L TURBO, MANUAL 6 KELAJUAN!

Jika Honda mempunyai varian berprestasi Type R, Acura pula menawarkan varian berprestasi Type S. Ini boleh dilihat melalui NSX Type S yang lebih berkuasa dan ditawarkan di dalam jumlah terhad.

Sejarah Type S bermula dari Honda yang menawarkan NSX Type S di Jepun pada tahun 1997 dan diposisikan di antara NSX asas dan NSX Type R. 

Acura kemudian menyusul dengan menawarkan versi NSX Type S sendiri.

Tradisi Acura Type S diteruskan sehingga kini dengan model seperti sedan TLX Type S dan kenderaan utiliti sukan (SUV) MDX Type S.

Menariknya, kedua-dua TLX dan MDX Type S digerakkan enjin 3.0 liter V6 turbo yang menggunakan teknologi enjin NSX.

Enjin TLX Type S dipadan dengan transmisi automatik sepuluh kelajuan dan pacuan Super Handling All-Wheel Driveâ„¢.

Enjin itu menghasilkan 355 kuasa kuda (hp) dan tork 480Nm dan menjadikannya sedan buatan Acura paling berprestasi (model 2021).

Nampaknya TLX Type S bakal mempunyai sahabat baharu apabila Acura mengesahkan program pembangunan Integra Type S.

Seperti yang diketahui, Integra banyak berkongsi komponen dengan Honda Civic dan adakah ini bermakna penggunaan semula komponen Type R?

Setakat ini belum ada apa-apa pengesahan kecuali penggunaan enjin 2.0 liter VTEC turbo yang menghasilkan lebih 300 hp.

Transmisi pula jenis manual enam kelajuan dan menggunakan pembeza gelinciran terhad (LSD).

Berdasarkan maklumat tersebut selamat untuk dikatakan Integra Type S menggunakan enjin K20C1 dan transmisi sama seperti Civic Type R.

Satu lagi komponen yang boleh mengesahkan perkongsian tersebut ialah muncung ekzos tiga corong Integra Type S yang hampir menyamai Civic Type R dan keluar dari tengah bampar.

Dari segi reka bentuk pula, tiada spoiler tinggi pada Integra Type S namun hadir dengan bampar depan dan belakang lebih agresif.

Sebagai rekod, Civic Type R pasaran Amerika Syarikat (AS) mempunyai kuasa 315 hp dan tork 420Nm.

Di AS, Integra 2023 ditawarkan dalam tiga varian iaitu A-Spec Package, A-Spec dengan Technology Package (CVT) dan A-Spec dengan Technology Package (6MT).

Ketiga-tiga varian dibekalkan enjin 1.5 liter VTEC turbo berkuasa 200 hp dan tork 260Nm.

BACA: ACURA MDX TYPE S – SUV BERPRESTASI TINGGI YANG WOW!

BACA: ACURA TLX TYPE S – KINI KEMBALI SEMULA KE PASARAN

BACA: ACURA NSX TYPE S 2022 LEBIH POWER. TERHAD 350 UNIT, HARGA BERMULA RM717,000

Google ads
Back to top button