Artikel Pilihan

10 USAHASAMA PEMBUATAN ENJIN YANG PELIK

Usahasama antara beberapa syarikat pengeluar kereta bukannya sesuatu yang pelik dan sudah lama dilakukan. Ia biasanya dilakukan oleh syarikat-syarikat yang bernaung dibawah satu syarikat besar seperti Volkswagen Group. Perkongsian pula meliputi pelbagai bahagian seperti alat-alat ganti, rantaian kuasa dan platform. Tapi kat sini kita fokus pada satu elemen sahaja iaitu enjin kereta.

Bukan sekadar enjin biasa tetapi enjin hasil kerjasama yang memang unik dan tidak disangka akan berlaku. Contohnya ialah SUV dengan enjin yang dibangunkan oleh Ferrari, sedan buatan Perancis dengan enjin Maserati, model hatchback dari Sepanyol dengan nadi Porsche   dan banyak lagi.

Alfa Romeo Stevio Quadrifoglio – Ferrari

Walaupun Ferrari bukan lagi sebahagian dari pada Fiat Chrysler Automobile (FCA), ikatan perniagaan masih ada lagi. Buktinya ialah Alfa Romeo Stevio Quadrifoglio, sebuah SUV dengan enjin yang dibangunkan oleh Ferrari.

Nadi SUV ini ialah sebuah enjin turbo berkembar 2.9-liter V6 yang mampu menghasilkan 510 hp kuasa. Enjin ini juga memacu SUV ini sebagai salah sebuah model yang paling laju di dunia dengan catatan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.8 saat. Kelajuan maksimanya pula ialah 280 km/j.

 

Aston Martin DB11 – Mercedes-AMG

Satu ketika dulu cubaan untuk menggantikan enjin popular V12 Aston Martin dengan enjin 8-selinder memang akan mengundang kritikan. Kini dunia semakin moden dan perubahan semestinya sudah berlaku.

Beberapa tahun lalu Aston Martin dan Mercedes-AMG telah mencapai persetujuan di mana pengeluar Jerman itu bersetuju membekalkan enjin kepada Aston. Kereta pertama menerima enjin baru tersebut ialah DB11 dengan enjin 4.0-liter turbo berkembar V8 yang mampu menghasilkan 510 hp kuasa.

 

Citroen SM – Maserati

Ramai yang menganggap Citroen SM sebagai pencetus idea. Ia mula diperkenalkan di Paris Motor Show pada tahun 1970 dengan rekaan berani dan kelegaan bumi yang tinggi. Tapi faktor yang membuatkan ia menjadi buah mulut semestinya ialah enjin Maserati V6 yang ada padanya.

Sebenarnya jawapannya tak susah kenapa enjin Maserati ada dalam sebuah model Citroen. Ini kerana dari tahun 1968-1975, Maserati memang dimiliki oleh Citroen sekaligus memudakan kerja. Ia merupakan enjin V6 2.7-liter dengan 170 hp kuasa. Cukup berkuasa pada masa itu.

 

Dodge Avenger – Volkswagen

Bila Dodge dan Volkswagen memilih untuk bekerjasama, mereka telah memilih enjin 2.0-liter TDI untuk dilengkapkan pada model Avenger. Ia merupakan enjin yang sangat digemari di Eropah tetapi warga Amerika sebenarnya tidak begitu gemarkan enjin disel.

Ia sebenarnya strategi Dodge untuk mengembangkan jenama mereka di Eropah. Apatah lagi dengan prestasi yang solid ditawarkan oleh enjin dengan 140 hp kuasa ini.

 

Lancia Thema 8.32 – Ferrari

Sekitar tahun 80-an, Lancia Thema ialah sebuah sedan konvensional yang berkongsi platform dengan Fiat Croma dan Saab 9000. Jika tidak kerana terdapat varian dengan enjin V8 sebagai pilihan, rasanya kereta ni payah nak naik.

Enjin V8 yang dimaksudkan bukan calang-calang kerena ia dihasilkan oleh Ferrari. Lebih tepat lagi ialah dari Ferrari 308. Ia merupakan sebuah enjin 2.9-liter V8 32 injap. Kuasa maksimanya juga dilaraskan kembali dari 240 ke 215 hp tapi masih mampu bergerak dari 0-100 km/j hanya dalam masa kurang dari 7 saat. Ini kereta pacuan hadapan tau.

 

McLaren F1 – BMW

Pada awal tahun 90-an, McLaren dalam proses membangunkan hasil karya terhebat mereka – F1. Tapi mereka memerlukan sebuah enjin yang boleh diharap. Enjin BMW menjadi pilihan walaupun pada awalnya mereka mempunyai pilihan dari Honda dan Isuzu.

Bos M Division BMW, Paul Rosche membantu McLaren mendapatkan enjin 6.1-liter V12 yang mampu menghasilkan 635 hp kuasa untuk F1. Hasilnya lahir kereta yang pernah memegang rekod kereta produksi terlaju di dunia.

BACA: LONDON DIISYTIHAR SEBAGAI IBUKOTA SUPERCAR DUNIA

 

Mercedes-Benz Class A – Renault

Ini usahasama yang tidak disangka. Ramai yang menyangka ia merupakan usahasama yang kecil seperti komponen papan pemuka ataupun paparan navigasi. Sebenarnya ia lebih besar lagi kerana enjin Mercedes A-Class ini berasal dari Perancis. Sama la dengan Proton Savvy kan?

Sebenarnya bukan semua enjin tetapi sebuah enjin disel untuk A 180d. Enjin 1.5-liter ini mampu menghasilkan 115 hp kuasa dan 250 Nm tork.

 

Mitsubishi Galant – AMG

Mitsubishi berhasrat untuk menjadikan Galant mereka lebih hebat pada akhir 80-an. Mereka memilih AMG yang merupakan tuner bebas ketika itu dan hasilnya lahirlah 500 unit Mitsubishi Galant dengan nadi talaan AMG.

AMG telah membuat talaan pada enjin 4G63 2.0-liter dan menambah beberapa komponen bagi membolehkan kuasa meningkat kepada 170 hp dan kelajuan enjin sehingga 8,000 rpm. Kereta ini bagaimanapun masih mengekalkan pacuan hadapan.

 

SEAT Ibiza – Porsche

SEAT Ibiza yang diperkenalkan pada tahun 1984 selepas mereka keluar dari Fiat merupakan sebuah kereta rojak. Ini kerana ia direka oleh Italdesign manakala badannya dibangunkan oleh Karmann. Akhir sekali Porsche menyumbang enjinnya untuk kereta harchback kecil ini.

Porsche menawarkan dua pilihan enjin, 1.2 dan 1.5-liter. Ia mampu menghasilkan 62 dan 90 hp kuasa setiap satu. Model yang paling berkuasa mampu menghasilkan 100 hp kuasa pada varian SXI.

 

Porsche 914 – Volkswagen

Inilah sebuah Porsche yang paling suram dalam sejarah Porsche. Ia juga tidak mempunyai nilai klasik. Kenapa? Mungkin sebab ia dibangunkan dengan kerjasama Volkswagen pada awal 70-an dan tidak dikira sebagai sebuah Porsche yang sejati.

914 mempunyai pilihan enjin 4 dan 6-selinder tetapi kedua-duanya merupakan enjin daripada Volkswagen. Patut la jarang dengar pasal Porsche ni. Ramai tak sangka yang ia sebuah Porsche kot?

Kredit Motor1.com

Tags
Google ads
Back to top button