;
BuletinPandu Uji

LEXUS NX300 2019 – LEXUS SAFETY SYSTEM+, HARGA LEBIH MURAH BERMULA RM314K

Lexus Malaysia baru sahaja melancarkan SUV mewah NX300 ke pasaran tempatan. Berbanding model sebelumnya, model facelift itu tidak lagi menggunakan nama NX200t, sebaliknya mahu dikenali sebagai NX300. 

Bakal berada di semua bilik pameran Lexus di Malaysia bermula 22 Jun 2019, NX300 didatangkan dalam tiga varian iaitu  NX300 Urban, NX300 Premium dan NX300 F-Sport. Kali ini, varian hibrid NX300h telah digugurkan.  

Selain daripada pelbagai ciri baharu yang akan saya perincikan nanti, NX300 sebenarnya ditawarkan pada harga yang lebih murah. NX300 urban boleh anda miliki pada harga RM313,888 (sebelum ini RM326,000) dan NX300 Premium berharga RM333,888 (terdahulu RM345,000). 

Varian yang lebih sporty NX300 F-Sport pula menerima penurunan harga paling banyak iaitu RM54,000 kepada RM349,888 kerana sebelum ini ia berharga RM404,000.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, harap maklum bahawa semua harga tersebut itu tidak termasuk insurans dan cukai jalan. 

Dengan harga yang lebih rendah, pasti ada ciri ‘kurang penting’ telah ditiadakan. Antaranya ialah bumbung kaca panoramik, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem bunyi Mark Levinson pada varian F-Sport.

Tetapi jangan rasa kecewa kerana Lexus telah menggantikan semua itu dengan pakej yang jauh lebih baik. 

Pakej keselamatan LSS+

Terimalah pakej keselamatan Lexus Safety System + (LSS+) yag didatangkan sebagai standard untuk ketiga-tiga varian.

Secara ringkasnya, LSS+ menawarkan perlindungan dalam tiga aspek: mengelak pelanggaran hadapan, memastikan pemandu sentiasa berada di laluan yang betul dan menawarkan tahap pandangan yang selamat ketika memandu pada waktu malam.   

Ciri utama pada LSS+ ialah Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) dengan Bantuan Brek Pra-Perlanggaran, Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDA).

NX300 turut dilengkapi ciri Bantuan Belokan Aktif (ACA) dan Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) yang berfungsi menukar kelajuan untuk mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan. 

Sistem itu tidak hanya berkesan ketika kenderaan bergerak, malah  turut berfungsi pada kelajuan bermula 0km/j. Sekali gus membantu menawarkan pemanduan lebih selamat dalam kesesakan trafik tanpa memerlukan sebarang input daripada pemandu. 

Ciri-ciri keselamatan lain yang ada tersedia termasuk Amaran Sokongan Parkir, Pemantau Titik Buta (BSM) dan sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) bagi varian Premium.

Antara ciri yang menjadi highlight dalam pakej LSS+ ialah Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS). AHS yang dipasang pada tiga beam LED itu sebenarnya mempunyai 11 chip LED bebas yang boleh dihidup dan dimatikan apabila perlu. 

Ini bermakna ia hanya akan mematikan butiran lampu LED yang menyuluh pengguna jalan raya lain sahaja.

Senang kata AHS mampu memberikan suluhan cahaya yang terang kepada pemandu dan tidak menyilaukan mata orang lain tanpa anda perlu mengubahnya secara manual. 

Keupayaan AHS sempat saya uji sendiri sewaktu memandu pulang dari Port Dickson untuk balik semula ke Lexus Mutiara Damansara. Boleh dikatakan bahawa ia berfungsi seperti yang dikatakan. Memang terbaik. 

Bukan itu sahaja, NX300 dilengkapi lapan beg udara SRS demi memberi perlindungan maksimum kepada semua penumpang. Manakala cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX sedia digunakan pada tempat duduk barisan kedua.

Enjin 8AR-FTS dan sistem G-AI

NX300 menggunakan khidmat enjin 2.0 liter empat-silinder petrol (8AR-FTS). Ia berupaya menghasilkan

kuasa mencecah 235hp di antara 4,800-5,600rpm dan tork 350Nm yang boleh dicapai pada 1,650- 4,000rpm. 

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik enam kelajuan (6 Super ECT) dengan kawalan Torque Demand.

Gabungan rangkaian kuasa tersebut membolehkan NX300 memecut dari 0-100km/j dalam masa 7.1 saat dengan pecutan maksimum 200km/j. 

Sistem G-Force Artificial Intelligence (G-AI) pula memberikan pengalaman pemanduan lebih mengujakan dengan cara membantu memilih kedudukan gear yang optimum.

SUV kompak itu juga hadir dengan ciri Dynamic Torque Control AWD bagi mengekalkan kestabilan dan menjimatkan penggunaan bahan api.

Pemandu boleh memilih mode pemanduan Normal, ECO dan Sport melalui tombol Drive Mod Select di konsol tengah. Varian NX300 F-Sport ditambah dengan mode Sport S+ untuk prestasi pemanduan lebih sporty bersama Suspensi Pembolehubah Adaptif (AVS).

Rekaan Urban Sport Gear

Dari segi luaran, Lexus NX 2019 kekal dengan bahasa rekaan Urban Sport Gear yang sememangnya agresif.  Bahagian hadapan diserlahkan dengan gril spindle yang menjadi trademark kenderaan Lexus. Eksklusif untuk model F-Sport,  F-mesh didatangkan dalam warna hitam. 

Varian Lexus NX300 Urban dan NX300 Premium menggunakan rim aloi dua tona bersaiz 18-inci. Walaupun menggunakan rim yang sama, NX300 F-Sport menerima kemasan Dark Premium Metallic dan tayar lebih lebar – 235/55R18 yang menjanjikan pemanduan lebih dinamik.

Ruang kabin NX nampak sibuk dengan banyak butang kaalan pada papan pemuka dan konsol tengah. Kemasan warna kontras jelas berjaya membuatkan bahagian dalaman ini nampak moden, mewah dan futuristik.

Anda boleh mengawal sistem kenderaan ini menerusi panel paparan bersaiz lapan inci. Selain Antaramuka Sentuhan Jauh (RTI) yang kini lebih mesra pengguna.

Sebagai sebuah Lexus, anda boleh mengharapkan penggunaan material yang berkualiti tinggi pada setiap inci ruang kabin ini. 

Lexus NX300 2019 didatangkan dalam tujuh warna menarik seperti BlazingCarnelian (oren), Amber CS (coklat), Sonic Titanium (perak), Sonic Quartz (putih), Graphite Black GF (hitam), Red MC CS (merah) dan Sparkling Meteor ME. NX300 F-Sport ditawarkan dalam warna khas iaitu Heat Blue CL (biru) dan Lava Orange CS (oren).

Semua model baru yang dijual oleh Lexus Malaysia hadir bersama jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan. Di samping sokongan selepas jualan di tujuh pusat servis Lexus di seluruh negara.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button