BuletinMotosikal

HONDA RUCKUS 49 CC, PELIK, UNIK ATAU CANTIK?

Boon Siew Honda (BSH) sekarang ini semakin berani dalam mengenengahkan motosikal unik yang belum tentu laku keras. Sekarang ini anda boleh memiliki motosikal yang begitu unik seperti MSX dan Monkey atau X-ADV.

Apa yang dilakukan BSH sekarang adalah kembali kepada zaman sebelum ini. Zaman di mana BSH tidak terlalu bergantung kepada EX-5 sahaja. Lagi pula di negara jiran seperti Thailand, Honda lebih berani dalam memasarkan motosikal pelik dan pelbagai model yang tidak boleh didapati di negara kita.

Di tengah-tengah kesibukan EICMA baru-baru ini sebenarnya ada pengumuman yang dibuat oleh Honda di Amerika Syarikat mengenai model-model motosikal untuk 2019.

Dalam pengenalan motosikal tersebut ada dimaklumkan tentang satu skuter unik iaitu Ruckus. Jika anda meminati MSX atau Monkey, ini adalah motosikal yang berada dalam segmen funky dan bergaya. Atau motosikal untuk gaya hidup stailo.

Ruckus sebenarnya bukan sebuah skuter baharu. Ia mula ditawarkan di Jepun pada tahun 2002 dan entah bagaimana tiba di Amerika Syarikat untuk dipasarkan.

Mengikut Honda, Ruckus menerima sambutan hangat dan berdasarkan konsep yang ditawarkan ia tidak menghairankan.

Rangka Ruckus memang ringkas, tidak perlu susah-susah menggunakan apa yang popular di pasaran. Skuter ini menggunakan rangka berrongga (tubular) yang ringkas tetapi pada masa sama kukuh.

Honda Big Ruckus tahun 2005. Pelana untuk dua orang.

Rangka besinya nampak ringkas seakan-akan ia boleh dibuat oleh juruteknik di kedai kimpalan. Enjin Ruckus juga ringkas, hanya bersesaran 49 cc dengan sejukan udara. Enjin ini menggerakkan roda belakang dengan tali sawat V dan dipacu oleh transmisi automatik.

Honda juga masih mengekalkan teknologi tradisional, tiada sistem suntikan PGM-FI dan cukup dengan karburetor CV 18 mm.

Kelengkapan lain juga masih tradisional seperti fork depan biasa dan suspensi tunggal di belakang. Juga tiada ialah brek cakera dan memadai dengan brek gelendung untuk roda depan dan belakang.

Honda Big Ruckus tahun 2005. Pelana untuk dua orang.

Memandangkan enjinnya kecil, tangki minyak juga sama dan cukup dengan 4.9 liter (1.3 gelen) manakala penggunaan minyak begitu menjimatkan iaitu hanya 48.4 km/l (114 mpg) sahaja. Berat Ruckus pula hanya 88 kg dan ia benar-benar ringan.

Honda Ruckus adalah skuter ringkas dan ia ibarat sebuah kit asas yang boleh diubah suai semaksima mungkin mengikut kreativiti pemiliknya.

Memandangkan ia skuter ringkas dengan teknologi konvensional, harga pun tidak mahal mana iaitu bermula daripada USD 2,699 (model 2018) atau RM 11,314. Mahal ditempat kita tetapi sangat murah di Amerika Syarikat.

Alang-alang BSH sudah membawa masuk MSX dan Monkey kenapa tidak tawarkan juga Ruckus di sini. Enjin kecil dan brek gelendung tidak menjadi masalah, sekejap sahaja boleh diubah suai dengan syarat ia turut ditawarkan di Thailand iaitu syurga motosikal!

BACA: HONDA RC213V-S – INI RASANYA MENUNGGANG MOTOSIKAL BERHARGA RM1 JUTA!

BACA: SKUTER HONDA X-ADV ATASI JUALAN BMW R 1200 GS DI ITALI – POWER!

*1 USD = RM 4.19

Google ads
Back to top button