Artikel Pilihan

10 PAPARAN METER PALING MENARIK DAN PELIK

Bila pengeluar mengeluarkan model yang dikatakan model berteknologi tinggi, antara perkara yang diberi perhatian tentulah gugusan meter yang berada di hadapan pemandu. Mana cukup dengan empat meter asas yang biasa digunakan sejak zaman dahulu kala seperti meter kelajuan, putaran enjin, tolok bahan api dan suhu enjin. Bayangkan meter Proton Saga generasi pertama, ringkas bukan? Sudah tentu terdapat lampu-lampu tertentu sebagai petunjuk kepada pemandu tetapi kini paparan meter sudah semakin canggih dan in sudah menjadi sebuah peranti informasi canggih. Setakat ni perkhidmatan bayaran bil dalam talian je yang belum ada pada paparan meter kereta.

Mari kita tengok beberapa paparan meter yang canggih dan pelik yang pernah dihasilkan.

McLaren 720S

Sebagai sebuah supercar sudah tentu McLaren 720S dilengkapi dengan skrin digital yang menyampaikan semua informasi yang diperlukan oleh pemanduan. Tapi kena ingat yang supercar juga cukup sinonim dengan kelajuan. Tambahan pula ia mempunyai DNA McLaren yang mempunyai darah perlumbaan. Pilih saja mod perlumbaan dan skrin digital tadi akan bertukar menjadi satu unit tipis yang hanya memberikan maklumat yang paling penting sewaktu berlumba kepada pemandu. Takkanlah masa race nak cari lokasi kedai mamak terdekat kot?

Lancia Delta Integrale HF

Lancia tidak berminat dengan konsep minimalis sewaktu memperkenalkan model homologasi rali mereka yang cukup popular satu ketika dahulu, Lancia Delta Integrale HF. Mereka sebaliknya memperkenalkan susunan berasaskan kokpit pesawat yang memberitahu pemandu segala info tentang keadaan enjin. Ia tidak secanggih meter zaman sekarang tetapi ia memang kelihatan sangat cool.

Aston Martin DB9

Sekali tengok ia memang nampak macam meter supercar mewah biasa tapi kalau dah tengok betul-betul tentu anda dapat perhatikan kedudukan meter dan jarum penunjuk yang diselaraskan secara simetrikal antara satu sama lain. Tengok sahaja kedudukan jarum yang berada pada posisi pelik dan bergerak secara simetrikal. Satu mengikut putaran jam dan satu lagi bergerak berlawanan. Unik bukan?

Nissan 300ZX

Meter dengan paparan LED memang belum terhasil sekitar tahun 80-an tetapi Nissan berjaya menghasilkan rekaan yang cukup futurisktik dengan menggunakan paparan LCD bercahaya seperti kalkulator arwah ibu Pokya satu ketika dahulu. Sekali tengok nampak macam Knight Rider pun ada.

Lexus LFA

LFA merupakan satu contoh di mana pengeluar menggunakan paparan meter yang canggih dan moden. Ia bagaimanapun masih menggunakan elemen klasik seperti gelung bulatan yang melingkari meter utama yang memang merupakan pengaruh retro dari zaman dahulu kala.

Pagani Huayra

Minimalis bukanlah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan gugusan meter Pagani Huayra. Ia memang kompleks dan sekali tengok macam lampu-lampu kelab malam pun ada. Ia merupakan satu rekaan yang berani dan menarik tapi jangan tenung lama-lama nanti sakit kepala.

Lamborghini Reventon

Bukan hanya gugusan meter tetapi kereta ini sendiri diinspirasikan dari sebuah pesawat stealth keluaran Lockheed Martin (F22 Raptor). Meternya juga tidak ketinggalan direka agar menyamai pesawat terbabit. Namun begitu paparannya juga masih boleh ditukar kepada mod klasik bila diperlukan. Perlu ke? Macam tak perlu je kan?

Chevrolet C4 Corvette

Sekitar tahun 80-an, paparan meter digital akan membuatkan sesebuah kereta dianggap futuristik. Salah satu daripada kereta dengan meter sebegitu ialah C4 Corvette. Kini ia memang nampak ketinggalan zaman tetapi ia masih kelihatan sangat cool.

Honda Civic Generasi 9

Meter bertingkat ini diperkenalkan buat pertama kali pada Civic generasi kelapan tetapi ia diperkemaskan lagi pada generasi kesembilan. Perekanya memang berjiwa perlumbaan kerana memisahkan meter kelajuan dari meter putaran enjin. Meter kelajuan diletakkan di bahagian atas pada sudut pandang pemandu jadi mereka tidak akan mengalihkan pandangan untuk melihat kelajuan mereka. Takometer besarr pula diletakkan dibahagian bawah untuk memudahkan pemandu melihatnya menerusi celahan roda stereng.

Ferrari GTC4Lusso

Ferrari sebenarnya kurang memberi perhatian kepada rekaan meter kereta keluaran mereka tapi GTC4Lusso memang istimewa dan berbeza dari Ferrari lain. Selain daripada pemandu, penumpang turut mempunyai unit paparan mereka sendiri yang menunjukkan kelajuan, takometer dan meter bacaan daya-G. Macam nak berlagak masa bawak awek kan? Tentulah, apa guna beli Ferrari kalau tak nak berlagak.

Google ads
Back to top button