Buletin

200 UNIT ŠKODA FABIA R5 TERJUAL KEPADA PELANGGAN SELURUH DUNIA

Jenama Skoda ini walau pun kurang dikenali berbanding jenama Eropah yang lain, namun kini mereka boleh berbangga dengan salah satu model mereka, Skoda Fabia. Apa tah lagi sementelah Skoda turut berkecimpung dalam perlumbaan rali melalui model Skoda Fabia F5 mereka.

BACA : SKODA FABIA R5 – KECIL-KECIL CILI API

BACA : ŠKODA FABIA DAN ALKISAH TIGA KETURUNANNYA

Ternyata pelaburan besar Skoda Motosport ini berbaloi dan membuahkan hasil. Kisah kejayaan Skoda Fabia R5 ini dibuktikan apabila sejumlah 200 unit tempahan berjaya diserahkan kepada pelanggannya di seluruh pelusuk dunia. Nama kan sahaja pelusuk mana tidak jumpa kelibat Skoda Fabia R5 ini, semuanya ada. Bukan setakat ada, malah mampu muncul juara pula.

Dan kereta rali ke 200 Skoda Motorsport ini menjadi milik pasukan Sports Racing Technologies (SRT) dari Latvia. Kisah kejayaan ini bermula semenjak dari tahun 2015 lagi apabila homoglasi kereta Skoda Fabia R5 ini dimulakan. Sehingga ke hari ini, sejumlah 89 pelanggan telah menempah Skoda Fabia R5 ini menjangkau sehingga kepada 30 buah negara.

Bukan main laku lagi. Sepanjang tahun 2017, bolehlah dikatakan jentera rali yang asalnya kelihatan comel tetapi telah berubah kepada anak gergasi yang sukakan kelajuan dan rakus meratah selekoh. Sudah tentulah perkhabaran kejayaan pemandu Pontus Tideland dan Juruarah Jonas Andersson yang muncul juara WRC 2 keseluruhan musim 2017 merupakan berita yang disambut dengan gembira oleh pengeluar dari Republik Czech ini. Ditambah lagi dengan kejayaan Skoda Motorsport yang merangkul kejuaraan Pengeluar WRC 2.

Itu belum lagi berita kejayaan Skoda Fabia R5 yang beraksi di peringkat kebangsaan mahupun peringkat benua seperti kejuaraan Asia Pacific Rally Championship (APRC), Middle East Rally Championship (MERC), South American Rally Championship (CODASUR), dan juga African Rally Championship (ARC) yang kesemuanya muncul juara dengan menggunakan Skoda Fabia R5 ini.

Penguasaan jentera ini dalam saingan WRC 2 seakan entah bila akan berakhir. Empat daripada lima pusingan WRC 2018 yang telah berlangsung berjaya dimenangi oleh jentera ini. Malah, jentera yang sama turut digunapakai oleh pasukan Cusco Racing yang berpengkalan di Jepun dalam saingan APRC bagi kegunaan pelumba Yuya Sumiyama dan sedang mendahului setakat pusingan pertama.

Menurut Ketua Skoda Motorsport, Michal Hrabánek mereka sentiasa memastikan keupayaan kereta Skoda Fabia R5 ini kekal berterusan dan mampu muncul juara dalam setiap perlumbaan yang disertai. Sekali gus meningkatkan kepercayaan kepada pelanggan-pelanggan mereka di seluruh dunia. Ini dibuktikan apabila dalam saingan WRC musim 2017, tidak ada satu pun kereta mereka yang terpaksa melepak di bahu jalan akibat masalah teknikal.

Kalau ada yang bertanya, tidak teringinkah pihak Skoda Motorsport beraksi dalam saingan utama WRC? Pada fikiran Brader Karrager baik mereka lupakan dahulu. Buat masa ini, mereka adalah Raja dalam WRC 2, jadi mengapa mesti meninggalkan tahta?

 

 

Google ads

B K

Back to top button