IRIZ DIBELI IRISH – KISAH PROTON IRIZ R5
Sesungguhnya, berita mengenai kereta rali Proton Iriz R5 ini tersangatlah dinantikan kemunculannya oleh peminat permotoran di tanahair. Ura – ura mengenai kemunculan semula Proton di pentas rali dunia sesudah Neo S2000 telah bertebaran luas semenjak dari tahun 2017 lagi.
Dan tahun sudah, Proton Iriz R5 yang dibina oleh pihak ketiga, firma dari
British MEM (Mellor Elliots Motorsport) ini kerap kali beraksi secara ‘indie’ di sana. Selain daripada berlumba, sudah tentu ianya sebagai medan untuk menguji komponen yang dipasang sama ada mampu bertahan dengan siri perlumbaan.
Prestasi yang ditunjukkan sememangnya cukup membanggakan apabila berjaya memenangi Grizedale Stages Rally dan juga Cambrian Rally sebelum ini menewaskan beberapa kereta rali seperti Fiesta WRC & Fiesta R5.
Dan berita baiknya, proses homologasi Iriz R5 ini telah pun selesai oleh FIA pada minggu kedua bulan Mac yang lalu. Bertambah baiknya juga apabila pihak MEM turut membina Iriz R5 dengan pemanduan belah kanan! Berbanding dengan Neo S2000 dahulu yang hanya dibina dengan pemanduan sebelah kiri sahaja.
Dan kini, ianya telah pun ditempah oleh pembeli pertama,
Eugene Donnelly dari Ireland yang juga merupakan juara lima kali Irish Tarmac Rally Championship. Menariknya, beliau menempah Iriz R5 ini dengan pemanduan belah kanan.
Bagi pihak MEM sendiri, Proton Iriz ini adalah homologasi pertama yang dibina sesudah mendapat pengesahan. Dan ini adalah satu – satunya kereta rali dengan homologasi di dunia dengan pemanduan sebelah kanan! Malah menurut Eugene Donelly, beliau juga berasa teruja untuk memandu Iriz R5 ini.
Sebetulnya pada musim 2018 yang lalu Eugene Donelly telah membuat kemunculan semula setelah tidak beraksi beberapa ketika untuk bekerjasama dengan Hyundai i20 R5 dan beberapa penaja utama beliau bagi membangunkan kereta tersebut bersama pasukannya Donnelly Motorsport. Kalau hendak diikutkan, kerjasama tersebut bakal berlangsung selama tiga tahun.
Tapi ni alih – alih si Pakcik Eugene yang kini telah berusia 52 tahun memutuskan untuk membeli Proton Iriz R5 pula. Entah apa perancangannya pun tidaklah pula diketahui lagi.
Yang pastinya, peminat rali tanahair pasti menantikan perkhabaran sesuatu mengenai kereta yang dikuasakan enjin 1.6 4B11T ini agar dapat dilayangkan dengan warna tema kuning bersama pasukan Proton R3. Ah, rindu pula dengan si Kuning S2000 itu kan?
Atau mungkinkah kita dapat lihat aksi Proton Iriz R5 ini pentas WRC2? Kita tunggu sahajalah.
BACA : PROTON AKAN KEMBALI KE KEJOHANAN RALI DUNIA 2018 DENGAN IRIZ R5
BACA : HYUNDAI i20 R5 – KERETA LUMBA MESRA BAJET KOREA YANG HANDAL