
TOYOTA JUGA BERCADANG UNTUK MENGELUARKAN YARIS R5
Dalam perlumbaan World Rally Championship (WRC), selain daripada WRC selaku kategori premier, kelas WRC2 juga sebenarnya semakin mendapat sambutan dan perhatian daripada penggemar mahupun pengeluar sendiri. Kecuali Toyota, kesemua pembuat yang bertanding dalam WRC, turut mempunyai model R5 bagi bertanding dalam kategori WRC2.
Barangkali sudah sampai masanya, Toyota juga menyertai seteru mereka dalam saingan kelas WRC2 yang telah pun bermula semenjak tahun 2014 lagi. Dan perkara ini turut diiyakan oleh Boss mereka sendiri, Tommi Makinen.
Menurut Tommi, kelewatan mereka mengeluarkan model R5 adalah disebabkan kekurangan pilihan rangkaian enjin 1600 CC yang ada. Tak gamak pula nak enjin Myvi TRD 1.5 yang terbukti kelajuannya itu. Laju sangat katanya. (ok tipu, ini Brader Karrager yang cakap).
Tapi menurut Tommi lagi, kini mereka sedang dalam peringkat kajian dan rancangan Yaris R5 sememangnya ada. Cuma mereka sedang menantikan model baharu dari Toyota yang dilengkapi juga dengan enjin terkini yang lebih bersesuaian.
Cumanya proses produksi massa serta homologasi model tersebut yang barangkali akan mengambil sedikit masa dan mereka harus bersabar sedikit tentang perkara itu.
Keyakinan Toyota tentang model baharu R5 ini sudah tentulah setelah mendapat perkhabaran dari FIA bahawa kategori ini tidak akan mempunyai sebarang perubahan dalam tempoh terdekat. Iyalah, karang kereta terhegeh baru nak siap, sekali ada perubahan pula. Walaupun sedikit perubahan yang dilakukan misalannya tentang saiz turbo yang dibenarkan, sudah tentulah faktor kelajuan sesaat dua mampu memisahkan tempat pertama dengan tempat kedua.
Kerja – kerja penyelidikan bakal melibatkan kerjasama antara TMC [Toyota Motor Corporation] dan juga TMG [Toyota Motorsports] dan ianya akan dilakukan di Puppolla, Finland dan juga di Tallinn, Estonia.

Jikalau sebelum ini telah ada pembuat secara indie Toyota Yaris R4 dari Poland, mungkin kelibat kereta R5 legit dari Toyota boleh dilihat bermula tahun 2021.
Baru sedap sikit saingan WRC2 nanti kan. Iyalah, dah bertahun juga Skoda Fabia R5 menang macam tak ada saingan sangat kan.
Cumanya bermula tahun ini, saingan WRC2 telah dipecahkan lagi kepada kelas WRC2 Pro, khusus untuk mereka yang Pro lah kan serta bernaung di bawah pasukan dan saingan selebihnya WRC2 untuk pelumba persendirian sahaja.
BACA : INI TOYOTA YARIS UNTUK WRC 2019, KIT BADAN SEPERTI PESAWAT TEMPUR!
BACA : PAKAR PEMBUAT KERETA RALI DARI POLAND – EVOLVE MOTORSPORT