CITROEN C3 R5 WUJUD DI INDONESIA NI TEMAN TEMAN
Teman – teman, ini ada sebuah mobil yang ingin ku cerita in, mobil reli R5 daripada Citroen telah pun wujud buat pertama kalinya di bumi Asia Tenggara dan Indonesia khususnya. Fuh terasa macam menulis Mekanika versi Indonesia pula gayanya.
Harus diakui, senario rali di Indonesia dan negara kita sedikit berbeda. Di negera seberang, dunia rali mereka sangatlah menarik. Baik dari segi penganjuran, penonton mahupun kereta yang bertanding, Jikalau sebelum ini Indonesia telah pun punya sebuah kereta Mazda AP4 yang beraksi di sana (tidak termasuk Mitsubishi Xpander AP4), mereka juga mempunyai deretan kereta rali yang lebih moden seperti Evo X dan pelbagai model Subaru Impreza.
Dan kali ini, senario rali Indonesia maju selangkah lagi apabila dua buah Citroen C3 R5 telah pun selamat mendarat dan beraksi di pentas rali di Danau Toba baru baru ini. Dua buah kereta rali kategori R5 tersebut sebenarnya telah dibeli oleh bekas pelumba rali Indonesia, Ricardo Gelael yang juga pemilik pasukan rali Tim Jagonya Ayam (catchy juga nama ni kan?). Ricardo Gelael membeli kereta rali tersebut bagi kegunaan anak sendiri, Sean Gelael untuk beraksi di pentas rali Indonesia. Sebenarnya si Sean Gelael telah diasuh untuk bergelar pelumba di atas trek berbanding pelumba di dalam ladang kelapa sawit. Malah sebenarnya Sean Gelael telah pun beraksi dalam Formula 2.
Walaupun mahal untuk mendapatkan kereta rali spesifikasinya membolehkan untuk beraksi dalam WRC 2, namun sang bapa Ricardo Gelael tetap mendapatkannya demi minat yang mendalam terhadap dunia rali. Apatah lagi beliau sebenarnya mengharapkan dengan situasi begini, dapat memberikan suatu tanda aras yang baharu dalam dunia rali di Indonesia. Dan khabarnya juga harga yang dibayar untuk mendapatkan kedua model rali yang kacak ini bukanlah murah. Bermilion milion Rupiah. Dah minat apa ada hal kan.
Ketika beraksi pertama kali di bumi Indoesia, jelas sekali catatan masa yang dipamerkan cukup menyakinkan di beberapa SS. Cuma ada beberapa insiden seperti tayar pecah dan beberapa mini penalti yang dikenakan jelas menggagalkan kedua kereta ini untuk meraih podium. Tetapi yang pasti keterujaan yang diraih baik dari segi pasukan, penganjur mahupun peminat adalah sesuatu yang sukar diungkapkan dengan kata. Peluang melihatkan sebuah kereta rali yang bertaraf WRC sebenar depan mata adalah nikmat.
Jujurnya Brader Karrager tidak merasa hairan dengan keupayaan negara sebarang untuk mendapatkan kereta rali dengan kualiti sebegitu. Acara rali di sana cukup meriah. Tahukah dari Jakarta untuk sampai ke Danau Toba itu memakan masa berapa jam? Jauh. Tapi sambutan peminat dan penyertaannya hebat. Dan kini mereka giat melobi untuk menganjurkan WRC pula.
Kita? MRC tahun hadapan pun entah bagaimana nasibnya. Marilah kita semua berdoa agar MRC kembali semula dan dunia rali tempatan kembali meriah.
Kredit Foto : FB Team Jagonya Ayam