Buletin

PENERBANGAN IHSAN TUDM BAWA 3 BAYI BERDEPAN MASALAH JANTUNG

Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) melaksanakan penerbangan ihsan membawa tiga bayi mengalami masalah jantung dari Kuching, Sarawak ke Pangkalan Udara Subang untuk mendapatkan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) dan sebuah hospital swasta.

Menurut kenyataan di laman Facebook TUDM, kesemua bayi berkenaan sebelum ini menerima rawatan daripada Hospital Umum Sarawak (HUS) dan ditemani ibu masing-masing.

Bayi perempuan, Eliora Mia Nawan berusia 20 hari mengalami masalah jantung Transposition Of Great Arteries akan dirawat di Hospital Gleneagles, Ampang.

Dua lagi bayi, Marry Anne Methew Mavrick, berusia 19 hari yang menghadapi masalah jantung Congenital Heart Block manakala Abang Muhammad AlFatih Abang Mohammad berusia 2 bulan menghadapi masalah jantung Congenital Heart Disease dirawat di IJN.

Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.

“Pesawat diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin dan pembantu juruterbang Kapten Wan Abdullah Wan Hanapi serta dibantu empat anak kapal.

“Pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Kuching tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira pukul 7.07 malam dan turut mengiringi adalah pegawai dan petugas perubatan dari HUS,” katanya.

Penerbangan ihsan dilaksanakan TUDM bagi membolehkan pesakit mendapat rawatan dengan segera dan tertakluk kepada keadaan-keadaan tertentu terutama nasihat dari pegawai perubatan. – FB TUDM

Google ads
Back to top button