
CHERY MALAYSIA TAWAR PILIHAN WARNA BAHARU AURORA GREEN UNTUK TIGGO 8 PRO
Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Chery Malaysia memperkenalkan pilihan warna terhad, Aurora Green, untuk SUV flagship-nya, TIGGO 8 PRO.
Pilihan warna edisi terhad yang lebih menawan cerah akan tersedia secara eksklusif pada TIGGO 8 PRO, menambah sentuhan elegan kepada kenderaan yang sudah hebat ini.
Pilihan warna Aurora Green hanya tersedia untuk 120-unit sahaja, menjadikannya pilihan yang istimewa bagi pelanggan yang inginkan kelainan serta sentuhan kemewahan.
Dari pengayaan TIGGO 8 PRO, ia dipadankan bersama gril hadapan berinspirasikan “galaksi”, sisipan berbentuk prisma baharu selain dikemaskan lagi dengan lambang Chery.

TIGGO 8 Pro juga dilengkapi dengan lampu lebar penuh baharu di bahagian belakang, di samping lampu brek ketiga yang disepadukan ke dalam spoiler dan diserlahkan menerusi rim bersaiz 19-inci.
Di bahagian dalam, SUV itu mendapat reka bentuk kontemporari, menampilkan skrin bercantum (intelligent curved dual screen) bersaiz 24.6-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, gril pembesar suara gaya Burmester serta lapan pembesar suara jenama Sony.
Dari segi kuasa, TIGGO 8 Pro dipacu oleh enjin empat silinder pengecas turbo 2.0 liter, menghamburkan kuasa 256hp, tork 390Nm dan dipadankan bersama dual-clutch transmission (DCT) 7-kelajuan.
Untuk rekod, Tiggo 8 Pro mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.
Untuk keselamatan, ia turut dimuatkan dengan ADAS merangkumi fungsi seperti amaran/penyimpanan keluar lorong, pengesanan titik buta, amaran pintu terbuka, amaran lalu lintas silang belakang, kawalan pelayaran adaptif serta amaran perlanggaran hadapan dan brek automatik (AEB).
TIGGO 8 PRO kini ditawarkan dari harga RM159,800 (WM) dan dilengkapi dengan pakej jaminan komprehensif, menawarkan perlindungan selama 7-tahun atau sehingga 150,000KM, serta 5-tahun servis buruh percuma.
Pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menambah perlindungan mereka dengan bayaran tambahan sebanyak RM2,000 untuk Pakej Extended Warranty Chery, yang menyediakan jaminan selama 10-tahun atau 1,000,000KM untuk enjin kenderaan mereka.
Selain itu, Chery Malaysia kini menawarkan Pakej Extra Peace of Mind, yang merangkumi jaminan lanjutan enjin kenderaan selama 10-tahun atau 1,000,000KM dan 7-tahun penyelenggaraan servis, semua ini hanya dengan RM11,600.
- BACA: PESAING PROTON X70, CHERY TIGGO 7 PRO DIPERKENALKAN, BAKAL LANCAR MEI INI – JANA 197PS, HARGA BAWAH RM130K
- BACA: CHERY MALAYSIA LANCAR PUSAT PAMERAN DAN SERVIS BAHARU DI KOTA KINABALU
- BACA: CHERY MALAYSIA PERKENALKAN PAKEJ EXTRA PEACE OF MIND KEPADA PEMILIK OMODA 5 DAN TIGGO 8 PRO
- BACA: CHERY FULWIN A8 PRO DIPERKENALKAN DI CHINA – 355HP, JARAK GERAK 1,400KM, HARGA BERMULA RM78K







