Buletin

8 PELUMBA F1 DENGAN GAJI PALING MAHAL TAHUN 2020

Pelumba Formula 1 memang terkenal kerana memperoleh gaji yang tinggi daripada pasukan masing-masing. Biarpun kehangatan perlumbaan jentera satu tempat duduk berkelajuan tinggi itu sudah tidak seperti 10 tahun lalu, namun peminatnya masih ada di seluruh dunia.

Seperti yang dijangka, jurang di antara pelumba yang menduduki senarai lima teratas sangat ketara dengan mereka di carta lebih rendah. Sama seperti industri popular yang lain, bintang dan pelumba paling berbakat mampu menjana pendapatan jauh lebih tinggi berbanding pesaing lain. 

F1 ialah sukan yang sangat mahal. Pasukan di kelas pertengahan pun perlu berbelanja lebih AS$120 juta (RM521 juta) semusim. Kos itu melibatkan perjalanan pasukan, gaji pelumba, krew, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta banyak lagi. 

Dalam erti kata lain, pasukan yang kaya lebih mudah untuk menonjol berbanding pasukan yang bajet pun cukup-cukup sahaja. 

Jom kita tengok siapakah pelumba yang menerima gaji paling tinggi di litar F1. 

No. 8: CARLOS SAINZ (McLaren) – €3.5 juta (RM18.8 juta) 

Carlos Sainz Jr. merupakan anak kepada pelumba rali lagenda yang menggunakan nama sama. Pelumba kelahiran Sepanyol ini memulakan kerjaya dalam F1 dengan pasukan Toro Rosso pada usia 23 tahun. Sejak itu, Sainz telah berlumba untuk pasukan Renault dan Red Bull Racing sebelum berpindah ke McLaren bagi menggantikan Fernando Alonso yang bersara pada tahun lalu. 

Pada Grand Prix Brazil 2019, Zainz mencatat podium pertama di tempat ketiga. Dia menamatkan musim 2019 di tempat ke-9 keseluruhan. 

Bintang Sainz dilihat terus menyinar apabila dilamar oleh pasukan Ferrari bagi menggantikan Sebastian Vettel bermula musim 2021. Menandatangani kontrak selama dua tahun, dia menjadi pasangan pemandu paling muda dalam sejarah Ferrari apabila digandingkan dengan Charles Leclerc.

No. 7: KIMI RAIKONEN (Alfa Romeo) –  €4 juta (RM21.4 juta) 

Digelar ‘Iceman” Kimi Raikonen ialah pelumba veteran F1. Pada usia 40 tahun, pelumba Finland itu masih dilihat sebagai pencabar yang digeruni.

Kimi menduduki tempat kedua keseluruhan pada tahun 2003 dan 2005; tempat ketiga pada tahun 2008, 2012 dan 2018. Selepas 9 musim, dia meninggalkan F1 untuk bersaing dalam World Rally Championship pada tahun 2010 dan 2011, sebelum kembali semula ke F1 pada tahun 2012. 

Sehingga kini, dia telah memenangi 21 Grand Prix, sekali gus menjadikannya pemandu Finland paling berjaya dalam F1. Musim lalu, Kimi berada di kedudukan ke-12. 

No. 6: VALTTERI BOTTAS (Mercedes) –  €7.5 juta (RM40.2 juta) 

Walaupun dengan gaji mencecah €7.5 juta (RM40.2 juta), pelumba Finland ini bagaimana masih jauh ketinggalan berbanding apa yang diterima oleh rakan sepasukannya, Lewis Hamilton. Namun, jika dilihat dengan lebih teliti, Bottas memperoleh bayaran yang jauh lebih tinggi daripada ramai pelumba lain. 

2019 merupakan musim yang bagus buat Bottas yang sudah bermula dengan Mercedes sejak tahun 2017. Dia mengabiskan musim lalu di kedudukan kedua di belakang Hamilton. Sekali gus menjadi musim paling berjaya setakat ini. 

Secara keseluruhan, Bottas telah merekodkan 4 kemenangan, 15 podium, 5 posisi pole dan 3 pusingan terpantas. 

No. 5: CHARLES LECLERC (Ferrari) –  €9 juta (RM48.3 juta) 

Pelumba kelahiran Monaco berusia 22 tahun ini melakukan debut dalam F1 pada tahun 2018 dengan berlumba untuk pasukan Sauber, sebelum berpindah ke Ferrari tahun lalu. 

Dia memenangi Pole Throphy pada musim 2019, menjadikannya pelumba paling muda dan bukan Mercedes yang merangkul trofi berkenaan. Tahun lalu, Leclerc berjaya menempatkan diri di tempat keempat keseluruhan dan mula menjana pendapatan yang tinggi. 

Leclerc  ialah pelumba yang wajar diberi perhatian. 

No. 4: MAX VERSTAPPEN (Red Bull) –  €16 juta (RM85.9 juta) 

Pelumba kelahiran Belgium-Belanda ini hanya berusia 17 tahun apabila mula berlumba dalam Grand Prix Australia 2015, sekali gus menjadi pelumba paling muda pernah bersaing dalam sejarah F1. Walaupun masih belum memenangi sebarang kejuaraan dunia lagi, dia dilihat masih ada banyak masa untuk mencapainya. 

Verstappen baru berusia 22 tahun pada September tahun lalu. 

No. 3: DANIEL RICCIARDO (Renault) –  €18 juta (RM96.6 juta) 

Segelintir peminat keliru apabila pelumba Australia ini menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Renault pada tahun 2018. 

Antara sebabnya adalah gaji yang lebih tinggi iaitu €18 juta (RM96.6 juta) setahun, kalau hendak dibandingkan dengan apa yang diperolehinya bersama Red Bull. Berdasarkan kepada prestasinya sehingga sekarang, mungkin ada yang berpendapat Renault menyesal membayar gaji semahal itu. 

Pada mudim 2019, Ricciardo hanya berajaya berada di tempat ke-9 dengan 54 mata. Untuk musim 2020, dia akan berpasangan dengan pelumba simpanan Mercedes, Ecsteban Ocon. Ramai yang berharap Ricciardo dapat memperbaiki prestasinya.

No. 2: SEBASTIAN  VETTEL (Ferrari) –  €42 juta (RM225.5 juta)

Vettel memulakan kerjaya sebagai pelumba ujian sebelum menjadi pemenang paling muda dalam sejarah F1. Ketika berlumba untuk pasukan Reb Bull, Vettel mencatat empat kejuaraan dunia berturut-turut, sekali gus membuatkan namanya disebut-sebut sebagai antara pelumba terbaik dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini. 

Sejak menyertai pasukan Ferrari pada tahun 2015, prestasi Vettel tidak konsisten atau luar biasa. Namun, itu tidak menghalang untuk dia memperoleh gaji yang cukup tinggi. 

Terkini, Vettel mengesahkan akan meninggalkan Ferrari mulai tahun 2021 selepas gagal mencapai kata sepakat. Katanya, keputusan yang diambil itu tiada kena mengena dengan wang. 

No. 1: LEWIS HAMILTON (Mercedes) –  €48 juta (RM257.7 juta)

Disifatkan sebagai pelumba F1 terbaik sepanjang zaman, Hamilton ialah juara enam kali Kejohanan Dunia F1. Sebelum ini, dia pernah berlumba untuk pasukan McLaren dan berpindah ke Mercedes pada tahun 2013. 

Menjadi pelumba kulit hitam pertama dan satu-satunya dalam sejarah F1, Hamilton memegang banyak rekod. Antaranya, mencatat mata paling tinggi sepanjang kerjaya, paling banyak kali berada di pole position, pemenang grand slam oaling banyak dalam satu-satu musim. 

Hamilton juga berada di tempat kedua dalam banyak kategori lain seperti gelaran kejohanan dunia, kemenangan dan podium. 

Jika Hamilton menang untuk musim 2020, dia akan mencatat rekod sebaai antara pelumba paling banyak memenangi Kejuaraan Dunia. 

Baru-baru ini, Hamilton dinobatkan sebagai atlet Britain paling kaya dalam sejarah negara itu dengan kekayaan RM1.18 bilion oleh Sunday Times Rich List 2020. 

Google ads
Back to top button