Buletin

HONDA FREED MODULO X, SEGAK BERGAYA KAN?

Honda Freed adalah MPV mini yang dikeluarkan pada 2008 dan dilancarkan di pasaran tempatan pada 22 April 2010. Walaupun dizahirkan sebagai MPV, Freed menggunakan platform yang diasaskan dari Honda City dengan jarak roda dipanjangkan dan enjin 1.5 liter i-VTEC sama seperti sedan itu dan Jazz.

Sebagai sebuah MPV, Freed boleh memuatkan ramai penumpang dengan lima, enam atau tujuh tempat duduk bergantung kepada pasaran. 

Model generasi pertama lama di pasaran sehingga digantikan dengan generasi kedua yang diperkenalkan di Jepun pada Jun 2016. Bezanya, Freed generasi kedua tidak dijual di pasaran tempatan termasuk beberapa negara lain.

Freed generasi kedua masih mengekalkan konsep generasi pertama, badan yang kurus dan tinggi dengan ukuran kompak. 

Untuk pengguna di Jepun yang mahukan sesuatu lebih sporti, Honda memperkenalkan Freed Modulo X pada 2017. Model itu tampil bergaya dengan kit badan penuh terdiri daripada bampar depan belakang, skirt sisi dan spoiler.

Tahun ketiga di pasaran, Honda memperkenalkan Freed facelift pada Ogos 2019. Turut baharu di pasaran ialah Freed Crosstar dengan gayaan crossover SUV.

Kini tiba giliran Freed Modulo X dengan kemasan terbaru diperkenalkan. Varian ini lengkap dari luar dan dalam termasuk suspensi khas.

Bahagian depan menerima bampar aero baharu dengan gril dan lampu kabus LED eksklusif. Pada berapa bahagian seperti lips, sisi bampar ada sirip yang membantu aliran udara. 

Cuma nampak kecil ialah roda aloi saiz 15 inci dan untuk pemanduan lebih sporti varian ini menggunakan set suspensi khas. 

Bahagian dalam menggunakan material yang dapat mengurangkan pergerakan badan. Kerusi depan dipamerkan sulaman logo Modulo X dan stereng menggunakan balutan kulit.

Dari segi penawaran, ada varian yang boleh dipilih iaitu Freed Modulo X Honda SENSING dengan enjin 1.5 i-VTEC dengan transmisi CVT.

Satu lagi pilihan ialah Freed HYBRID Modulo X Honda SENSING yang dipadan bersama transmisi tujuh kelajuan berkembar DCT. 

Kedua-dua varian ditawarkan dalam pilihan enam atau tujuh tempat duduk. 

Dari segi harga, Freed Modulo X Honda SENSING enam tempat duduk dijual pada 2,950,200 yen (RM118,996) dan tujuh tempat duduk pada 2,972,200 yen (RM119,883).

Honda Freed HYBRID Modulo X Honda SENSING pula berharga 3,256,000 yen (RM131,330) bagi enam tempat duduk dan 3,278,000 yen (RM132,217) untuk tujuh tempat duduk.

Kepada yang berkenan dan seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Freed generasi kedua tidak dijual di negara kita. Berdasarkan sambutan generasi pertama yang kurang menggalakkan, mungkin Freed tidak berapa menepati citarasa pengguna tempatan.

Toyota juga cuba menjual MPV sebegini melalui Sienta dan nampaknya kurang sambutan hangat.

Jawapannya adalah pada Honda BR-V yang lebih ringkas dan juga harga lebih rendah. 

Kredit foto: Honda

Google ads
Back to top button