Buletin

TEMUI JALAN BUNTU, VETTEL TINGGALKAN FERRARI

Bekas juara dunia Formula Satu (F1), Sebastian Vettel dilapor bakal meninggalkan pasukan Ferrari pada penghujung tahun ini berikutan perbincangan untuk melanjutkan kontrak di antara kedua-dua belah pihak menemui jalan buntu.

Menurut Prinsipal Ferrari, Mattia Binotto keputusan itu dibuat secara bersama. Ia disifatkan sebagai ‘bukan mudah’ dengan mengambil kira status Vettel sebagai seorang pemandu yang hebat.

“Sudah sampai waktunya untuk kami memilih jalan berasingan bagi mencapai objektif masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Ferrari semalam.

Vettel yang juga juara dunia empat kali memberitahu, dia gagal mencapai kata sepakat dengan pengurusan Ferrari untuk terus bekerjasama pada masa depan. Keputusan yang diambil tiada kena mengena dengan aspek kewangan.

“Dalam usaha mendapatkan keputusan sebaik mungkin dalam sukan ini, amat penting buat semua pihak untuk bekerja dalam suasana harmoni. Masalah kewangan bukan isu dalam perbincangan ini.

“Apa yang berlaku sejak beberapa bulan lalu membuatkan kami meneliti kembali apakah keutamaan sebenar kami. Saya sendiri perlu mengambil masa apabila ia membabitkan masa depan saya,” jelasnya.

Vettel merupakan pelumba nombor 1 Ferrari sejak tahun 2015 selepas menggantikan Fernando Alonso. Dia hampir memenangi kejohanan pada tahun 2017 dan 2018 ketika Ferrari mempunyai jentera yang lebih laju berbanding Mercedes.

Namun, hasrat itu terkubur apabila berlaku kesilapan daripada pemandu dan pasukan.

Pelumba pasukan McLaren, Carlos Sainz disebut-sebut akan menggantikan Vettel. McLaren juga dijangka melamar Vettel, sekiranya pelumba kelahiran Jerman itu masih mahu bergiat aktif dalam F1.

Google ads
"
"
Back to top button