Artikel Pilihan

9 LITAR JALAN YANG POPULAR & BAHAYA

Boleh ke jalan raya dibuat sebagai litar perlumbaan? Jawapannya ada 2, tak boleh jika anda mengadakan perlumbaan haram waima menggunakan basikal pink anak anda sekalipun. Satu lagi jawapannya ialah boleh dengan syarat ia mendapat kebenaran pihak berkuasa dan dianjurkan mengikut tahap keselamatan yang telah ditetapkan oleh badan perlumbaan.

Mari kita lihat perlumbaan yang dianjurkan di atas litar yang sebenarnya merupakan jalan raya yang digunakan pada hari biasa.

1. Marina Bay Street Circuit (Singapore GP) – ya litar ini tiada kaitan dengan filem Maria Mariana walaupun ia terletak di negara jiran Singapura. Litar sepanjang 5.036 km ini terletak berhampiran pelabuhan sama seperti Litar Monaco. Litar ini akan melalui pusat bandar, Marina Bay dan juga Kallang. Paling menarik perlumbaan di anjurkan pada waktu malam. Sejuk sikit rasanya, kalau waktu siang panas ya ampun Singapura ni.

2. Raceway Belle Isle – terletak di satu kawasan seluas 982 ekar yang menganjurkan perlumbaan Grand Prix Detroit dari tahun 1992 -2001. Litar ini merangkumi jarak sejauh 3.78km dengan 14 selekoh. Litar ini kembali dipopularkan Indy Car pada tahun 2011 atas usaha Penske Racing yang mahu litar ini kembali beraksi.

3. Guia Circuit, Macau – pada asalnya trek ini dibuat untuk pertandingan mencari harta karun pada tahun 1954, namun para peserta mendapati alangkah baik kalau laluan ini dijadikan trek perlumbaan. Perlumbaan pertama diadakan pada tahun 1967 bagi kategori motosikal. Sejak dari itu trek ini menganjurkan Grand Prix Macau dan Guia Race.

Berbeza dengan Monaco, trek ini ada laluan lurus dengan 19 selekoh termasuk satu selekoh penyepit rambut (betul ke istilah haripin ni?) Namun apa yang lebih mencabar ialah litar ini boleh berubah ketinggian dalam 30 m dalam satu pusingan. Halaju di jalan lurus pula boleh mencecah 260km/j. Gabungan halaju tinggi, perubahan altitud dan selekoh tajam benar-benar menguji fokus pemandu

4. Pau-Ville, Peranchis – merupakan satu litar yang dibuat di atas jalan awam di pekan Pau bermula dari tahun 1930. Penganjur kemudian memastikan trek yang digunakan mematuhi semua standard yang ditetapkan bagi penganjuran Grand Prix, F1, Formula 2, Formula 2 dan perlumbaan Touring

Litar ini adalah sepanjang 2.76km dengan 15 selekoh. Ketika perlumbaan dianjurkan dulu, ia hanya meliputi 33 pusingan sahaja. Ketika itu Jim Clark merupakan pemandu yang paling banyak menjuarai perlumbaan di litar ini.

5. Litar de la Sarthe – mungkin anda tidak kenal dengan nama ini, tapi kalau sebut Le Mans mungkin anda kenal. Ini kerana litar ini sendiri melalui pekan Le Mans bagi perlumbaan ketahanan 24 jam. Litar ini dibuka pada tahun 1923 dengan panjang 13.626 km serta mengandungi 38 selekoh menjadikan perlumbaan 24 jam adalah berkaitan dengan ketahanan pemandu dan juga ketahanan mekanikal jentera.

Litar ini juga terkenal dengan Mulsanne Straight sejauh 6km bagi membolehkan pemandu menekan pedal minyak dan aerodinamik kenderaan memainkan peranan penting di sini selain enjin yang lasak. Kelajuan tertinggi di sini ialah 405km/h dicatatkan oleh Roger Dorchy dengan jentera WM Peugeot P88. Rekod ini kekal apabila penganjur memasang 2 halangan bagi mengurangkan kelajuan jentera

6. Mount Panaroma Circuit – satu nama yang agak asing bagi kita, tapi kalau sebut Perlumbaan Bathurst 1000km Endurance rasanya ramai yang kenal. Litar ini terletak di Bathurst, South Wales Autralia memiliki panjang 6.213 km yang merupakan jalan awam. Malah kebanyakan rumah penduduk hanya boleh diakses melalui litar tersebut

Antara ciri menarik litar ini ialah perbezaan ketinggian antara titik terendah dengan titik tertinggi dengan jarak ketinggian 174 meter. Ia merupakan satu ciri yang tiada pada litar moden. Jika tiada acara perlumbaan diadakan, jalan ini dibuka untuk kegunaan awam sebagi laluan 2 hala dengan halaju maksima 60km/j

7. Pike Peaks – boleh dikatakan sama seperti dengan jalan menuju ke Genting Highland tapi jalan ini sebenarnya lebih ekstrim dengan garisan penamat terletak di 4302 meter dari aras laut. Pada asalnya jalan ini tidak berturap namun diturap dengan arahan mahkamah. Pelumba perlu memakai topeng dan bekalan oksigen ketika berlumba kerana udara menjadi semakin nipis di garisan penamat.

8. Litar Monaco-merupakan satu litar ikonik dalam sejarah perlumbaan F1 dengan laluan litar mengelilingi hotel, terowong dan juga pelabuhan yang menempatkan kapal layar mewah. Panjang litar ini ialah 3.337km dengan 19 selekoh dibuka semenjak tahun 1929. Namun apa yang menarik litar ini telah mengalami beberapa perubahan bagi memastikan tahap keselamatan dipertingkatkan serta beberapa bangunan awam yang baru telah dibina

9. Isle of Man – ia sebenarnya sebuah pulau yang terletak antara Ireland dan juga England namun bernaung di bawah kerajaan British. Pada tahun 1903 satu akta diluluskan oleh parlimen UK bagi menghadkan halaju maksima kereta pada 32km/j sahaja. Jadi persatuan permotoran England dan Ireland memohon kepada pentadbir Isle of Man bagi membenarkan mereka berlumba di sana.

Mereka diberikan kebenaran untuk berlumba menggunakan jalan awam di atas jalan awam sejauh 60.725 km dengan 219 selekoh. Kami tidak pasti bagaimana pelumba boleh menghafal banyak selekoh di sini sewaktu berlumba kerana litar ini sebenarnya lebih panjang dari Nurburgring.

Google ads
Back to top button