
PERLUMBAAN PEAK PIKE INTERNATIONAL HILL CLIMB
Kalau di Malaysia, setiap kali ada pelancaran kereta baru soalan pertama dari netizen yang rata-ratanya pemegang phD dalam kejuruteraan mekanikal ialah berapa halaju maksima kereta dan bolehkah dipandu naik ke Genting. Sehingga kami perlu membuat pandu uji di Genting Highland bagi menjawab soalan netizen.
Bukan setakat kereta, motosikal malah kalau ada pelancaran troli terbaru Maidin pun kami akan uji di Genting. Namun di Amerika, soalan yang sesuai yang perlu ditanya oleh bakal pembeli ialah “Boleh panjat Pike Peaks tak?”. Ini kerana bagi seorang pemandu biasa, mereka memerlukan masa 3 hingga 4 jam untuk mendaki Pergunungan Rocky ke puncak.

Laluan ini sepanjang 19.99km dari bawah ke puncak yang merangkumi 156 selekoh. Rekod ketinggian dari garisan permulaan 1440 meter dengan kadar pendakian secara purata ialah 7 darjah. Garisan penamat perlumbaan terletak 4302 meter dari aras laut.
Pada mulanya laluan ini merupakan laluan jalan tidak berturap, namun pada tahun 2011 pihak berkuasa terpaksa menurap laluan ini bagi mengelakkan pencemaran punca air selepas kalah dalam mahkamah selepasa disaman oleh peryubuhan pencinta alam (pulak).

Perlumbaan ini dimulakan oleh Spencer Penrose iaitu seorang usahawan Amerika pada tahun 1916 sebagai perlumbaan pertama yang berlangsung di atas awan. Ia menukar laluan biasa yang dilalui oleh orang awam pada halaju 40km/j kepada laluan perlumbaan yang sangat mencabar sehingga dipandu pada halaju 220km/j. Jika tersilap langkah, kereta lumba akan terbang dan jatuh dalam gaung.
Selepas dimulakan oleh Spencer, perlumbaan ini dinaiktaraf kepada perlumbaan antarabangsa yang menarik perhatian pasukan antrabangsa dari Asia dan juga Eropah. Format perlumbaan juga mudah, ia dikenali dengan nama time attack atau siapa catatkan masa terpantas dari garis permulaan ke garisan penamat dikira sebagai pemenang.

Sekiranya anda sudah cukup power dan handal di Genting Highland dan bercadang untuk bertanding dalam Pike Peaks International Hill Climbs, maka anda perlu sedar terdapat 5 elemen yang menjadikan perlumbaan ini sebenarnya sangat sukar.
1. Ia menggunakan jalan awam – ini bermakna ia bukan direka dengan ciri-ciri keselamatan yang sama seperti litar perlumbaan. Tiada penanda jalan (100m, 75m, 50m) disediakan bagi selekoh. Tiada run off area disediakan, jika anda terbabas pastikan kereta lumba anda dipasang dengan sayap dan nyanyikan lagu Westlife I’am Flying Without Wings.

2. Tiada pagar keselamatan bagi kebanyakan selekoh – Bagi menambahkan risiko, laluan ini tidak dipasang dengan pagar keselamatan.Pastikan anda menyediakan takaful yang cukup jika anda nekad untuk menyertai perlumbaan ini. Pastikan hati anda cukup terang untuk menghafal semua 156 selekoh yang ada. Satu kesilapan kecil dan anda perlu mengucap syahadah dengan segera. Kalau sifir 12 pun susah nak hafal, lupakanlah ye.
3. Ia melibatkan ketinggian yang berbeza – tubuh manusia akan memberikan reaksi yang berbeza terhadap perubahan altitud yang dialami. Semakin tinggi sesuatu tempat, semakin nipis kandungan gas Oksigen. Seorang pendaki yang perlu mendaki Gunung Everest akan menghasilkan lebih banyak sel darah merah bagi meningkatkan keberkesanan darah mengangkut oksigen.

Jadi tidak hairan mengapa kita lihat juruterbang pesawat tempur akan menggunakan topeng gas oksigen ketika bertugas. Kekurangan gas oksigen akan menyebabkan masalah pening, masalah fokus dan juga dehidrasi. Menjadi kebiasaan untuk para pelumba membawa bekalan oksigen yang akan dipasang dengan topi keledar ketika berlumba.
Pada ketinggian 4302 meter juga, prestasi kereta akan mulai menurun. Jika enjin anda menggunakan aspirasi normla (NA) maka kuasa yang dihasilkan akan mulai berkurang, melainkan anda berlumba dengan kereta elektrik. Udara yang nipis menyebabkan kuasa enjin menjadi kurang.

Udara yang semakin nipis juga akan menyebabkan kesan aerodinamik pada kereta lumba anda semakin berkurang. Tekanan downforce yang dihasilkan tidak cukup kuat sama ketika di garisan permulaan.
4. Elemen cuaca – disebabkan laluan ini mempunyai ketinggian yang berbeza maka ia terdedah kepada elemen cuaca yang agak ekstrim. Hujan boleh melanda pada garisan permulaan, apabila anda memandu semakin tinggi anda boleh terdedah kepada salji yang terhasil. Jalan yang basah serta terdedah pada salji akan menyebabkan pekali geseren antara tayar dan jalan berkurang.

Ia menjadikan kereta semakin mudah untuk terbabas. Berbanding dengan litar perlumbaan yang sentiasa dijaga, laluan ini amat jarang diselenggara oleh pihak berkuasa tempatan. Tiada lori atau mesin yang akan menyapu batu-batu yang ada di tepi jalan ataupun menyodok salji. Malah cuaca sejuk juga menyebabkan permukaan jalan menjadi herot dan berbonggol.
Bayangkan jika anda memecut melalui bonggol di selekoh, kemungkinan besar anda akan mengalami oversteer dan terbabas dalam gaung.
5. Habitat Hidupan Liar – kawasan pergunungan Rocky merupakan habitat semulajadi bagi hidupan liar di Colorado. Kita bukan bercakap mengenai cicak tokek ataupun belalang, tapi binatang berkaki empat seperti elk, moose, rusa, kambing bertanduk besar, kambing gunung, beruang dan juga bison.

Pada tahun lepas seorang peserta perlumbaan menunjukkan bukti yang diperolehi dari kamera yang dipasang pada kamera kereta lumba, selepas melalui beberapa selekoh dengan hujan lebat, pemandu tersebut terpaksa memperlahankan dan mengelak sekumpulan kambing gurun yang kelihatan teruja untuk menonton perlumbaan tersebut.

Walaupun perlumbaan ini sangat mencabar dan berbahaya disebabkan 5 elemen di atas, penyertaan yang diterima setiap tahun semakin meningkat. Mungkin disebabkan oleh pelumba lunatics yang perlukan dos adrenalin yang tinggi dalam tubuh mereka disebabkan bahaya yang wujud dalam perlumbaan ini tidak dapat ditemui di litar lain di dunia ini.