Buletin

HONDA FIT JDM DENGAN KIT HONDA ACCESS

Honda FIT atau Jazz generasi keempat dipertontonkan di Tokyo, Jepun pada Oktober 2019 dan setakat ini hanya beberapa negara seperti Jepun, United Kingdom dan China yang sudah dan bakal menerimanya.

Belum ada pengesahan mengenai status Jazz di pasaran Asia Tenggara yang mempunyai peminat tersendiri sejak generasi pertama.

Ada yang mengatakan ‘Jazz’ versi hatchback dirancang untuk Asia Tenggara dan setakat ini tiada pengesahan rasmi kecuali gambar-gambar penyamaran sesi ujian di jalan raya awam.

Serentak dengan pelancaran FIT di Jepun pada Februari 2020, Honda memperkenalkan aksesori Honda Access yang tampil lebih sporti.

Secara umumnya ada lima varian FIT di Jepun iaitu Basic, Home, Ness, Crosstar dan Luxe. 

Aksesori Honda Access yang ditawarkan adalah dari dalam hingga ke luar kereta. 

Di antara kit luaran yang ditawarkan ialah gril, skirt pada bahagian depan, sisi dan belakang, hiasan (garnish) pada lampu kabus termasuk LED dan spoiler belakang.

Fit Crosstar pula mempunyai hiasan ala skid plate pada bampar depan dan belakang. Varian ini yang sudah lengkap dengan kit penuh badan turut hadir dengan hiasan tambahan pada skirt sisi.

Fit Crosstar yang tampil dengan imej kembara diserlahkan lagi kegunaannya dengan palang kargo bumbung dengan had bebanan 45kg. Turut ditawarkan ialah pelekat grafik pada keempat-empat pintu.

Selain rim standard, Honda Access memberi pilihan rim corak baharu mengikut saiz kereta sama ada 15 inci atau 16 inci.

Pada bahagian dalam, aksesori yang ditawarkan lebih kepada menambah keceriaan dan praktikaliti.

Di antaranya ialah lampu pada ruang kaki dan poket pintu, pemijak ambang pintu, injak (paddle) sport, pelapik stereng, pengecas tanpa wayar dan balutan kerusi.

Untuk pemanduan yang lebih terjamin, turut ditawarkan ialah perakam video pandangan depan dan belakang.

Berkenaan harga dan pakej, ada beberapa yang ditawarkan seperti berikut:

  • Pakej Sports 54,670 yen (RM2,177): Gril depan + logo hitam + set injak sport
  • Pakej CROSSTAR 79,200 yen (RM3,154): Hiasan bawah (depan dan belakang) +  lampu kabus LED + hiasan lampur kabus (100,100 yen/RM3,987 termasuk cukai)
  • Pakej Luxury 59,400 yen (RM2,366): Nyalaan bahagian dalam pembuka pintu dan poket pintu + lampu kaki + pemijak ambang pintu (dengan nyalaan LED ) + set cermin auto retra (66,000 yen/RM2,629 termasuk cukai)

Secara keseluruhannya penggunaan kit Honda Access ini menambah lagi seri Fit yang agak bersahaja dan sekali imbas kelihatan seperti Jazz generasi pertama.

Mari kita tunggu sama ada Fit atau Jazz ini bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan. Apa yang pasti ialah Jazz sudah pun memiliki penjenamaan dan reputasi kuat di kalangan pengguna tempatan.

BACA: TAHUN 2001 HONDA JAZZ DIPERKENAL DI JEPUN, MODEL IKONIK SAMPAI SEKARANG

BACA: HONDA N-BOX JUARA LAGI DI JEPUN, NOMBOR 1 SETAKAT JUN 2020

BACA: HONDA ODYSSEY USDM, CUN JUGA NI! 3.5L V6

Kredit foto: Honda

Google ads
Back to top button