Buletin

91 REJIMEN BANTUAN RAJD, BINA JAMBATAN BAILEY DI KAMPUNG LECHAR

Berikutan kejadian struktur buffer yang runtuh akibat banjir besar dan arus sungai yang deras yang berlaku pada 3 Januari 2021, sepasukan 31 anggota Lain-Lain Pangkat dan 2 pegawai dari Pasukan 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera DiRaja (91 Rej Bantuan RAJD) dari Kem Batu Kentomen telah membina jambatan Bailey Compact di Kampung Lechar.

Jambatan Bailey akan memudahkan perhubungan antara Perumahan Makmur Lechar Jaya, Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar, Pekan Ulu Dong dan Bandar Raub. Jambatan sepanjang 26 meter dan lebar 7.35 meter mengambil masa antara 8-12 jam untuk disiapkan dengan bantuan kren dan juga jentolak

Majlis Keselamatan Negara telah menyediakan 10 jambatan Bailey kepada Angkatan Tentera Malaysia yang berada dalam keadaan siap siaga bagi menghulur bantuan di kawasan yang memerlukan. Jambatan ini boleh dipasang untuk sementara atau secara kekal di kawasan bencana alam bagi memastikan perhubungan awam tidak terputus

Jambatan Bailey merupakan jambatan yang boleh dipasang, disiapkan di kilang yang dihasilkan dengan menggunakan alang besi yang kuat dan dihantar ke mana-mana dengan menggunakan lori. Kaedah ini direka pada tahun 1940an oleh tentera Berikat bagi menghadapi masalah jambatan yang diletupkan oleh tentera Jerman sewaktu perang

Versi asal jambatan Bailey tidak memerlukan peralatan khusus untuk dibina, boleh diangkat dengan menggunakan tenaga manusia dan cukup kuat untuk menampung beban kereta kebal sehingga 50 tan ketika itu

Sumber berita, video dan gambar – Berita Tentera Darat Malaysia

Google ads
Back to top button