Buletin

MITSUBISHI PAJERO SPORT FACELIFT 2019 DI THAILAND – WAJAH DYNAMIC SHIELD, BERMULA RM171K

Mitsubishi Motors Thailand baru-baru ini melancarkan  Pajero Sport ke pasaran untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam segmen SUV yang dibina berasaskan kepada trak pikap. 

Seperti yang dijangka, Pajero Sport baharu menggunakan wajah rekaan Dynamic Shield, sama seperti Triton. Ia melibatkan sepasang lampu utama lebih nipis, perumah lampu kabus, gril radiator lebar dan kemasan krom pada bampar. 

Sementara bahagian belakang diserlahkan dengan rekaan kluster lampu yang memanjang ke bawah. 

Ruang kabin SUV tujuh tempat duduk ini bagaimanapun tidak banyak berubah.

Konsol tengah telah menerima rekaan baharu dengan paparan infohibur bersaiz lapan inci, lengkap bersama ketersambungan telefon pintar. Tidak ketinggalan brek parkir elektrik dengan fungsi hold automatik. 

Dibina di kilang Mitsubishi di Rayong, Thailand, Pajero Sport kini hadir dengan sistem operasi tanpa kunci dikenali sebagai Mitsubishi Remote Control yang membolehkan pemandu membuka atau menutup pintu menggunakan telefon pintar. 

Antara ciri bantuan pemandu baru termasuklah Lane-Change Assist dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Manakala pintu belakang kini boleh dibuka secara elektrik. 

Pajero Sport masih menggunakan enjin turbo diesel bersesaran 2.4 liter yang mampu menjana kuasa 181hp/430Nm yang dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda Super Select. 

Bagi versi pacuan dua roda 2WD, SUV itu ditawarkan pada harga bermula 1.29 juta baht (RM171,300). Harga itu sebenarnya cukup kompetitif jika dibandingkan dengan pesaingnya seperti Ford Everest dan Toyota Fortuner. 

Dilengkapi lebih banyak ciri, versi 4WD Pajero Sport pastinya lebih mahal iaitu bermula 1.54 juta baht (RM205,800) seunit. 

Selepas pelancaran ini, Pajero Sport akan dipasarkan ke 90 buah negara di seluruh dunia termasuklah Filipina, Australia dan United Kingdom. 

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button