
ACURA ADX SERBA BAHARU – BAKAL MENJADI SUV PILIHAN ANAK MUDA MASA KINI
Acura telah memperkenalkan sebuah lagi SUV kompak terbaharu ke dalam katalog SUV mereka, Acura ADX. Acura ADX ini merupakan SUV kompak premium yang mengkhususkan kepada pembeli muda yang mahukan kenderaan gaya hidup yang menarik dan premium dan berprestasi dalam masa yang sama.
Rekaan hadapan menampilkan gaya bahasa terkini sebuah Acura dengan gril berbentuk Diamond Pentagon tanpa bingkai yang kelihatan cukup elegan. Rekaan lampu DRL LED Chicane juga kelihatan cukup menarik ditambah dengan lampu utama di bahagian bawahnya.

Rekaan bahagian kelihatan sedikit agresif dan garang dengan terdapat dua corong ekzos di hujung kiri dan kanan dengan bahagian tengah menampilkan rekaan ala skid plate. Menambahkan rupa garang luaran adalah padanan rim bersaiz 18 inci berwarna hitam berkilat.
Untuk penampilan yang bersih dan mewah, teknologi pematerian laser menghilangkan keperluan untuk acuan bumbung, dan pengelap cermin depan telah disembunyikan di bawah garisan hud apabila tidak digunakan.
Reka bentuk dalaman Acura ADX ini telah dipertingkatkan dengan sentuhan baharu pada reka bentuk dwi-kokpit yang sporty dan juga penggunaan bahan premium dengan kemasan yang lebih terperinci.

Paparan instrumen digital bersaiz 10.2 inci akan memaparkan paparan info penting kepada pemandu dengan lebih jelas manakala sistem infohiburan menggunakan skrin bersaiz 9 inci lengkap dengan fungsi Apple Car Play dan Android Auto.
Secara standard, setiap varian Acura ADX dilengkapi dengan bumbung suria, dwi-zon kawalan suhu, dan juga Tempat Duduk Penstabil Badan kerusi hadapan untuk mengurangkan tahap kelesuaan dan memberikan keselesaan untuk pemanduan jarak jauh.

Untuk varian tertinggi, model ini akan dilengkapi dengan bumbung panorama, pengudaraan tempat duduk yang dibaluti dengan uplhosteri Ultrasuede serta didatangkan dengan sistem bunyi premium daripada Bang & Olufsen.
Model yang berkongsi platform dengan Honda HR-V untuk pasaran Amerika Syarikat ini menggunakan enjin 1.5 liter turbo VTEC, enjin yang serupa digunakan untuk model Integra. Angka 200 HP sudah pastinya mampu dicapai untuk SUV kompak ini tanpa masalah.
Anggaran harga untuk Acura ADX ini dijangka pada aras harga sekitar $35,000 (RM156,390). Tak adalah mahal mana sebenarnya kan Acura ni?? Hmmmmmmmmmm

