
ADIDAS LANCAR BUT ADIDAS X CRAZYFAST BUGATTI – TERHAD 99 PASANG SAHAJA
Adidas baru-baru ini membuat kejutan apabila menjalin kerjasama dengan Buggati, melancarkan but keluaran terhad, Adidas X Crazyfast Bugatti.
Terhad 99 keluaran, Adidas X Crazyfast Bugatti ini dikatakan ‘dicipta untuk kelajuan serta ringan’, dengan beberapa rujukan Bugatti dalam reka bentuknya termasuk dipadankan bersama warna Bugatti Blue dan hitam, lambang Adidas serta lambang Ettore Bugatti.

Bahagian bawah but ini terdapat tatahan gentian karbon, sama seperti yang terdapat dalam kereta Bugatti. Turut disertakan ialah frasa Adidas (Impossible is Nothing) dan Bugatti (Create the Incomparable).
But ini adalah berdasarkan Adidas X Crazyfast yang tersedia secara meluas, termasuk menggunakan teknologi sedia ada untuk membantu pemain bola sepak memberikan aksi terbaik di atas padang.
Sudah tentu, tidak ramai orang akan memakai kasut bertema Bugatti untuk bermain bola sepak, tetapi ia bakal disimpan sebagai barang koleksi.

Pengurus Besar dan Naib Presiden Kanan Bola Sepak Adidas, Nick Craggs mendedahkan bahawa but itu akan diperkenalkan secara rasmi di atas padang buat kali pertama secara eksklusif oleh Rafael Leao dan Karim Benzema pada November 2023.
Disebabkan ketersediaan sangat terhad, Adidas dan Bugatti akan menawarkannya melalui lelongan. Pihak yang berminat boleh melawati platform Adidas Collect Web 3, di mana lelongan dijalankan antara 8 dan 11 November.
Untuk harga pula, ia dijangka jauh lebih mahal berbanding Adidas X Crazyfast standard iaitu AS$274 (RM1,302).
- BACA: NGILU TENGOK BUGATTI CHIRON BERGERAK DENGAN RIM TANPA TAYAR
- BACA: BUGATTI RESIDENCE BAKAL DIBINA DI DUBAI – APASAL TAK BUAT KAT MENTAKAB JE
- BACA: KOS PENUKARAN 2 PALAM PENCUCUH DAN IGNITION COIL BUGATTI VEYRON, RM 89,000
- BACA: PUSAT SERVIS BUGATTI TERBAIK DI DUNIA BERADA DI ZURICH – BILA LA NAK ADA KAT MENTAKAB