Buletin

AIRASIA GROUP KINI DIKENALI SEBAGAI CAPITAL A

AirAsia Group Bhd (AAGB) secara rasmi ditukar kepada Capital A Berhad (Capital A atau Kumpulan) berkuat kuasa serta merta.

Ia selepas kejayaan pendaftaran nama tersebut di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diumumkan pada 3 Januari lalu, dan kelulusan rasmi telah diterima semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes pertukaran nama kepada Capital A tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas operasi syarikat.

Jelas beliau lagi, pertukaran nama tersebut mencerminkan strategi perniagaan teras baharu bagi Kumpulan itu sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup, yang telah pantas mengubah jenama AirAsia menjadi lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan.

“Pada asasnya Capital A adalah sebuah syarikat pelaburan dengan portfolio perniagaan yang luas yang memberikan nilai terbaik pada kos terendah, disokong oleh data kukuh yang dibina selama dua dekad.

“Kami juga merupakan salah satu jenama terkemuka di Asia, selain mempunyai budaya yang mengutamakan pelanggan dan kakitangan serta terus komited untuk berkhidmat kepada semua golongan.

“Sama seperti syarikat penerbangan kami yang menawarkan nilai dan perkhidmatan terbaik dari hari pertama ia ditubuhkan, semua bidang perniagaan kami yang berbeza akan beroperasi dengan strategi yang sama iaitu menjadikan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup mampu milik, mudah diakses dan inklusif untuk semua,” katanya.

Mengenai syarikat penerbangan, Fernandes berkata, jenama AirAsia akan kekal digunakan.

Dalam pada itu beliau menambah, melalui nama baharu itu juga ia akan meningkatkan lagi kebolehpasaran produk syarikat dan meningkatkan kejayaan kumpulan untuk masa depan.

Menjelang tahun 2026, Capital A antaranya menyasarkan untuk mencapai syarikat penerbangan menghubungkan lebih satu bilion orang di Asean.

“Dengan akses kepada lebih 700 juta orang di rantau ini, saya percaya terdapat peluang pertumbuhan yang luar biasa untuk jenama kami merentasi pelbagai industri berbeza dalam semua pasaran teras kami.

“Kami mempunyai 16 produk dan perkhidmatan di platform airasia Super App, menawarkan penerbangan dan keperluan gaya hidup seharian.

“Daripada makanan kepada barangan runcit dan e-dagang, kepada perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama, e-panggilan dan banyak lagi.

“Semua perniagaan portfolio kami dijangka akan menjadi peneraju industri dalam bidang masing-masing di seluruh Asia Tenggara, termasuk BigPay, bahagian kejuruteraan pesawat kami iaitu Asia Digital Engineering (ADE) dan usaha logistik kami iaitu Teleport,” ujarnya. – AWANI

Google ads
"
"
Back to top button