Buletin

ALFA ROMEO STELVIO QUADRIFOGLIO – SUV 510 HP, 2.9L V6 TURBO BERKEMBAR

Jenama Alfa Romeo sudah senyap di pasaran tempatan apabila tidak diwakili oleh mana-mana pengedar rasmi. Di luar sana, Alfa Romeo masih lagi mengaum dengan beberapa model baharu termasuk sebuah SUV kompak. Alfa Romeo pun turut sama mengeluarkan SUV dan sahlah musim sekarang ialah musim SUV.

Apabila bercakap tentang Alfa Romeo, jenama ini bukan biasa-biasa walaupun melibatkan sebuah SUV. Alfa Romeo Stelvio Quadrifoglio yang juga merupakan varian SUV Quadrifoglio (varian prestasi/four-leaf clover) pertama dijangka menjadi penanda aras baru dalam segmen SUV kompak premium.

Sebab apa? Sebab Stelvio Quadrifoglio ini adalah SUV terpantas dalam kelasnya di litar Nürburgring dengan catatan masa 7 minit 51.7 saat.

510hp 2.9 liter V6 Bi-Turbo – Input dari Ferrari!

Stelvio Quadrifoglio dilengkapi dengan enjin petrol petrol 2.9 liter V6 Bi-Turbo dan paling menarik sekali dibangunkan dengan teknologi input dan kejuruteraan dari teknologi Ferrari.

Enjin itu mempunyai kuasa maksima 510hp pada 6,500 rpm dan menghasilkan tork maksimum 600Nm dari 2,500 hingga 5,000 rpm. Enjin itu dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan yang telah dikalibrasi khas dengan masa penukaran gear hanya memerlukan 150 millisaat dalam mod Race.

Pecutan SUV ini dari sifar hingga 99.7 km/j pula hanya dalam masa 3.8 saat dengan kelajuan maksimum 283 km/j.

Alfa Romeo Stelvio Quadrifoglio bukan sahaja laju macam kereta sport tetapi juga mempunyai teknologi penjimatan bahan api canggih iaitu sistem nyah aktif silinder yang dikawal secara elektronik dan fungsi sailing, yang terdapat dalam mod Advanced Efficiency.

Apabila dah laju macam ini, buat pertama kalinya Alfa Romeo menggabungkan enjin petrol 510hp 2.9 V6 Bi-Turbo dengan sistem pacuan kesemua roda (AWD) Q4 yang inovatif. Enjin ini adalah sama seperti Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio yang bersaing secara terus dengan BMW M3 dan Mercedes AMG C 63.

Sistem Q4 itu menawarkan gabungan yang hebat dari prestasi, daya tarikan, keseronokan memandu dan keselamatan dalam semua keadaan.

Dalam keadaan normal, sistem Q4 memindahkan 100 peratus tork ke gandar belakang. Apabila roda mendekati had cengkaman mereka atau dah maksimum, sistem menghantar sehingga 50 peratus tork ke gandar depan dengan serta merta melalui transfer case.

BACA: FIAT SUPERMIRAFIORI 131 – BILA OLSKOOL JEPUN HILANG DARI RADAR

Sistem cengkaman SUV ini dilengkapi dengan unit Alfa™ Chassis Domain Control dengan differential Alfa™ Active Torque Vectoring sebagai ciri standard.

CDC ini bertindak sebagai otak Stelvio Quadrifoglio dengan menyelaras kesemua sistem elektronik kereta untuk prestasi terbaik dan keseronokan pemanduan sepanjang masa.

CDC secara serentak memberikan tugas khusus kepada pelbagai sistem aktif SUV ini  seperti pemilih Alfa™ DNA Pro selector, Q4 AWD, Alfa™ Active Torque Vectoring system, AlfaTM Active Suspension system dan ESC.

Alfa Romeo Stelvio Quadrifoglio ini sebenarnya belum dilancarkan lagi sehinggalah tahun depan di Eropah. Harganya pula dijangka memasuki pasaran premium sebab Alfa Romeo sekarang ini sudah berada dalam kelas tersendiri. Menariknya ialah SUV kompak ini paling pantas di Nürburgring. Ini paling power!

BACA: 5 CIRI KERETA LAMA YANG SEMAKIN DILUPAKAN – (DAN KAMI MERINDUINYA…)

Google ads
Back to top button