
MAZDA MENUJU KEGEMILANGAN – 783K UNIT JUALAN DALAM MASA 6 BULAN
Salah satu kaedah untuk mengetahui bagaimana sesuatu strategi syarikat berjaya atau tidak ialah melalui angka jualan. Mazda setelah bergerak sendiri memilih jalan untuk menghasilkan kereta yang lari daripada kebiasaan.
Oleh itu pelanggan jelas apa yang dibelinya iaitu tidak sama dengan jenama Asia atau Eropah atau Amerika Syarikat.
Strategi dan risiko yang diambil Mazda Motor Corporation itu nampak berbaloi apabila rekabentuk dan teknologinya mendapat pujian media dan paling penting sekali mendapat sambutan pengguna.
Ini dijelas boleh dilihat melalui jualan global pada setengah tahun fiskal 2017-2018 (Mac – September) telah mencatat rekod baharu sebanyak 783,000 unit.
Jumlah itu sedikit meningkat berbanding tahun lalu dan rekod jualan terbaik untuk tiga tahun berturut-turut. Model baharu Mazda CX-5 yang menerima sambutan hangat di peringkat global telah menyumbang kepada prestasi ini.
Terima kasih China dan Jepun!
Terima kasih kepada China kerana negara itu adalah pasaran dengan pertumbuhan terkuat di mana jualan naik 12% berbanding tempoh sama tahun lalu (1 April – 30 September) kepada 149,000 unit.
Terima kasih juga kepada negara asal Mazda iaitu Jepun yang mencatatkan kenaikan 4% kepada 96,000 kenderaan. Di Eropah, Mazda menjual 119,000 kenderaan.
Perolehan global pada tempoh tersebut meningkat sebanyak 7% kepada ¥ 1.66 trilion (€ 13.1 bilion), sementara pendapatan bersih meningkat 13% kepada ¥ 63.3 bilion (€ 502 juta). Keuntungan operasi pula ialah ¥ 76.5 bilion (€ 607 juta).
Tidak mahu bergantung harap kepada CX-5 semata-mata, Mazda baru-baru ini mendedahkan beberapa perancangan untuk membantu menjamin pertumbuhan masa hadapan. Di antaranya ialah enjin petrol SKYACTIV-X dengan teknologi penyalaan mampatan (compression ignition).
Sementara itu, Mazda KAI CONCEPT dan Mazda VISION COUPE yang dipamerkan di Tokyo Motor Show memberi arah reka bentuk kenderaan generasi akan datang.
Mazda juga telah mengikat perjanjian dan usahasama dengan Toyota Motor Corporation dan sedikit sebanyak turut menjamin masa depan kukuh untuk syarikat automotif kecil ini.
BACA: MAZDA KAI CONCEPT – PENGGANTI MAZDA3 INI MEMANG CUN HABIS!
BACA: MAZDA PATENKAN ENJIN BAHARU – 2 PENGECAS TURBO, 1 UNIT SUPERCHARGER & PACUAN RODA BELAKANG