
ALFA ROMEO BAKAL LANCAR MODEL BAHARU DI MALAYSIA
Media tempatan, Automachi baru-baru ini melaporkan eksekutif Stellantis Malaysia mendedahkan bahawa Alfa Romeo bakal melancarkan model keretanya di pasaran Malaysia pada masa hadapan.
Walaupun jenama itu mempunyai pengeluaran dan jualan begitu rendah iaitu hanya 44,115 unit pada tahun 2021, ia sentiasa terkenal dengan prestasi serta pengendalian yang cemerlang.
Salah satu model Alfa Romeo paling banyak diperkatakan ialah Giulia, diletakkan sebagai sedan D-Segmen dan mempunyai tetapan pacuan roda belakang/semua roda.

Selain versi biasa, kilang asal juga melancarkan Giulia Quadrifoglio Performance Version.
Ciri paling istimewa model ini ialah ia menggunakan enjin pengecas turbo berkembar 2.9L V6 yang dibangunkan serra ditala khas oleh Ferrari.
Giulia Quadrifoglio berupaya menghamburkan kuasa 503hp, tork 600Nm, dan pecutan 0-100 dalam 3.9 saat.

Selain itu, ia berupaya mencapai 307 km/J, termasuk mencatat rekod baharu untuk pusingan terpantas sedan empat pintu di Nürburgring pada 2016 dengan catatan masa 7 minit dan 32 saat.
Dengan kemunculan elektrifikasi, Alfa Romeo juga telah menerima sokongan teknikal daripada Stellantis dan bakal melancarkan model elektrik tulen pada masa akan datang.
Stellantis yang juga kumpulan automotif multinasional hasil penggabungan PSA dan Fiat Chrysler Automobiles, sebelum ini membuat penilaian strategik terhadap potensi besar mengubah kilang pengeluaran milik penuhnya di Gurun, Kedah menjadi hab pembuatan serantau.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengedar Am Stellantis bagi ASEAN, Daniel Gonzalez, berkata kumpulan yang dibentuk pada Januari 2021 itu sedang membuat penilaian rapi.
“Stellantis sedia membawa teknologi terkini bagi menampung pengeluaran kenderaan berbilang tenaga iaitu BEV, kenderaan elektrik hibrid ringan (MHEV) dan pembakaran dalaman (ICE) di kemudahan pembuatan di Kedah,” katanya. – Automachi