Buletin

ALFA ROMEO DEDAHKAN SEDAN CROSSOVER ELEKTRIK. BAKAL SAINGI BMW MERCEDES EQE, BMW i5

Seperti yang kita ketahui, Alfa Romeo bercadang untuk melancarkan rangkaian model EV. Namun, laporan baharu dari UK memberi lebih banyak penerangan tentang salah satu model sedan crossover gaya baharu yang dijangka tiba di AS menjelang 2027. Jentera itu bakal memberi saingan kepada BMW i5, Mercedes-Benz EQE dan Audi A6 e-tron.

Model elektrik baharu itu akan diletakkan dalam segmen E. Diposisikan di atas Giulia, ia juga akan berubah menjadi sedan elektrik untuk generasi seterusnya.

Dari segi penggayaan, model itu tidak dihadkan oleh gaya badan sedan tiga kotak tradisional. Konsep penggayaan yang sama mungkin berlaku untuk pengganti Giulia kerana bos Alfa Romeo sentiasa bercakap tentang bagaimana gaya badan sedan berkembang.

Bercakap dengan lebih terperinci tentang model Alfa Romeo baharu itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean Philippe Imparato memberitahu kereta tersebut akan membawa ‘tahap prestasi yang tinggi dan ruang kabin luas tanpa berkompromi dari segi aerodinamik’.

Komen seperti itu mengingatkan kita tentang siluet model fastback yang baru-baru ini dipopularkan oleh jenama Stellantis iaitu Citroen C5 X dan Peugeot 408. Ada yang memanggilnya coupe-crossover atau fastback, tetapi ciri-ciri seperti jarak kelegaan tanah yang sedikit tinggi dan garis bumbung aerodinamik mesti ada.

Peugeot 408 menggabungkan unsur-unsur rekaan badan yang rendah, crossover dan SUV. Bolehkah pereka Alfa Romeo menghasilkan rekaan serupa dan diselitkan dengan DNA Itali? Model dari Peugeot dan Citroen yang disebutkan tadi dibina di atas platform EMP2 yang setara dengan platform STLA Medium.

Alfa Romeo baharu dijangka menggunakan seni bina STLA Large yang lebih besar, sekali gus dapat memberikan lebih banyak ruang kepada pereka untuk memberikan sentuhan ajaib mereka.

Model baharu itu dijangka debut di AS pada tahun 2027 dengan pasaran lain menyusul tidak lama kemudian. Biarpun tumpuan utama dalam pembangunan itu ialah pasaran Amerika Utara, namun Alfa Romeo mendedahkan bahawa ia akan dijual ke seluruh dunia.

Sebelum ini, Alfa Romeo ada mengesahkan akan melancarkan beberapa model SUV. Brenero akan diletakkan di bawah Tonale dan Stelvio. Manakala SUV elektrik bersaiz penuh bakal bersaing secara langsung dengan BMW iX dan Audi Q6 e-tron.

 

Google ads
Back to top button