
ALPINA B4 GRAN COUPE MENDARAT DI JEPUN, HANYA 4 UNIT SAHAJA
Bergantung kepada pasaran, anda boleh mendapatkan sebuah BMW 4-Series Gran Coupe yang standard yang ditawarkan oleh pengedar sah jenama itu.
Namun, tidak semua pasaran menawarkan model talaan Alpina yang lebih eksklusif dan lebih berkuasa seperti model B4 Gran Coupe berwarna jingga ini.
Di Jepun, syarikat pengimport Nicole Automobiles hanya menawarkan empat unit sahaja model B4 Gran Coupe untuk pasaran tersebut.

Setiap satu didatangkan dengan set rim spesifik bersaiz 20 inci Alpina, upholsteri kulit hitam Merino, stereng balutan Alcantara, trim kayu hitam serta dua pilihan warna badan iaitu Fire Orange dan Frozen Black Metallic.
Uniknya di Jepun, anda masih boleh membeli sebuah kereta dengan pemanduan sebelah kiri dan memandunya seperti biasa.
Dari segi kuasa, B4 Gran Coupe ini didatangkan dengan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter menghasilkan 495 hp dan 729 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 301 km/j.
Dengan hanya empat unit sahaja (dan harga yang tidak didedahkan), Nicole Automobiles akan memilih pembeli yang layak menerusi cabutan loteri.




















