
ANDA KINI BOLEH TEMPAH PROTON X70 DENGAN RM99 – UNTUK 3 HARI SAHAJA!
Anda kini boleh menempah SUV serba baharu PROTON dengan lebih mudah menerusi pelancaran platform tempahan dalam talian.
Dibuka mulai jam 10 pagi 17 Oktober melalui laman web korporat PROTON, platform itu membolehkan pelanggan menempah Proton X70.
Memandangkan ini adalah kaedah jualan yang baru buat PROTON, satu jualan kilat atau flash sale dari 17-19 Oktober diadakan untuk mempromosikan penggunaan platform tersebut.
Sepanjang tempoh promosi tiga hari itu, pelanggan hanya perlu membayar yuran tempahan sebanyak RM99 sahaja.
Pelanggan perlu memberikan butiran peribadi, model, warna pilihan, bandar dan negeri di mana mereka ingin mengambil kereta. Selepas bayaran tempahan dibuat, resit akan dihantar kepada e-mel pelanggan.
PROTON kemudian akan melantik penasihat jualan untuk menguruskan pesanan dengan menghubungi pelanggan dalam tempoh tujuh hari. Bagi tempahan yang dibuat di mana-mana cawangan PROTON, bayaran penuh akan dikembalikan sekiranya pelanggan mengubah fikiran mereka.
Sempena pelancaran portal tempahan dalam talian ini, PROTON juga akan berkongsi maklumat lengkap mengenai Proton X70 di laman sesawangnya termasuklah spesifikasi untuk setiap varian model.
Maklumat ini akan membantu pelanggan membuat keputusan, terutamanya berkaitan pilihan variasi dan warna, sama seperti mereka berkunjung ke bilik pameran.
“Selepas mengkaji pilihan pengguna dan trend pasaran, PROTON percaya bahawa inilah masa yang tepat untuk menawarkan kemudahan tempahan dalam talian kepada pelanggan. PROTON juga akan memberi ganjaran kepada mereka yang membuat tempahan sebelum pelancaran Proton X70.
“Ganjaran ini berupa hadiah istimewa untuk semua pelanggan awal tidak kira sama ada mereka menempah melalui dalam talian atau di cawangan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa.
Pratonton ke Malaysia Timur
Sesi pratonton Proton X70 kini menuju ke Malaysia Timur yang diadakan di Kuching pada 15-16 Oktober. Selepas sesi pratonton bersama media yang kedua, sesi ini menumpukan pada fungsi ketersambungan dan teknologi yang ditawarkan oleh SUV tersebut.
Elemen gaya pada bahagian luaran dan dalaman turut dijelaskan. Sesi pratonton ini akan diteruskan di Kuantan dan Ipoh dan terakhir di Kota Kinabalu.
“Sambutan pelanggan terhadap Proton X70 amat mengalakkan. Jumlah kehadiran pada sesi pratonton kami sangat tinggi. Ramai kagum dengan kualiti serta spesifikasi yang ditawarkan pada model pertama yang dibangunkan bersama oleh PROTON dan Geely.
“SUV ini akan mencetus perubahan untuk PROTON, berdasarkan jumlah pra-tempahan tinggi yang diterima. Justeru, kami berusaha keras untuk memastikan kereta-kereta yang diserahkan adalah seperti yang diharapkan oleh para pelanggan,” kata Abdul Rashid.
Maklumat lanjut, sila layari www.proton.com/ProtonX70