Motosikal

DUCATI MULTISTRADA 1260 2018 – ENDURO CANGGIH & MESRA PENUNGGANG

Pada tahun 2016, Ducati memperkenalkan model enduro pertamanya yang dikenali sebagai Multistrada 1200 Enduro.

Kini, 1260 Enduro terbaharu yang dihasilkan di Bologna, Itali dikatakan lebih mesra pengguna dan seronok ditunggang. Ia membolehkan penunggang menikmati semua teknologi, prestasi dan keselesaan terbaik jentera Ducati.

Motosikal yang dibina untuk perjalanan jauh itu digerakkan oleh enjin Testastretta DVT bersesaran 1,262cc dengan sistem pemasaan boleh ubah. Mula digunakan pada model Multistrada 1260 tahun lalu, enjin itu menyaksikan banyak penambahbaikan untuk memberikan prestasi lancar sepanjang julat rpm.

Ini menjadikannya lebih seronok ditunggang dan tidak memerlukan penunggang kerap menukar kedudukan gear. Ducati memastikan kuasa enjin dapat dikawal sebaiknya menerusi mode-mode tunggangan serta fungsi Ride by Wire baruyang meningkatkan aspek kawalan pendikit.

Ciri Ducati Quick Shift (DQS) meningkatkan pengalaman tunggangan dengan rasa lancar ketika menaik atau menurunkan gear. Pakej elektronik seperti Bosch Cornering ABS, Cornering Lights, Wheelie Control, Traction Control dan Vehicle Hold Control didatangkan sebagai ciri standard.

Multistrada 1260 menggunakan rim lidi bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang yang sangat sesuai untuk mengharung perjalanan jauh. Tampil dengan suspensi elektronik semi aktif Sachs yang telah dikaliberasi semula dan tangki minyak berkapasitii 30 liter, enduro itu mampu bergerak sejauh 450 melalui satu isian tanpa sebarang masalah.

Aspek ergonomik yang telah ditambah baik (tempat duduk, bar hendal dan titik graviti lebih rendah berbanding versi 1200) dan talaan suspensi baharu menjanjikan keselesaan kepada sesiapa sahaja.

Human Machine Interface (HMI) menerusi paparan warna TFT bersaiz 5 inci dan kawalan gear memudahkan urusan mengawal semua talaan dan fungsi motosikal, termasuklah Ducati Multimedia System (DMS).

DMS berfungsi menyambungkan telefon pintar penunggang dengan motosikal melalui Bluetooth. Seterusnya memberi akses kepada semua fungsi multimedia seperti muzik, panggilan dan teks.

Multistrada 1260 Enduro juga boleh disambungkan dengan aplikasi Ducati Link yang membolehkan penunggang menetapkan mode perjalanan. Selain mengubah suai parameter setiap mode tunggangan seperti ABS, Ducati Traction Control dan sebagainya menggunakan telefon pintar.

Aplikasi itu juga menyediakan maklumat penyelenggaraan yang komprehensif, selain manual dan lokasi Ducati Store. Ia juga membolehkan penunggang merekod prestasi dan laluan yang boleh mereka kongsikan dengan rakan-rakan.

Multistrada 1260 Enduro didatangkan dalam warna merah dan emas. Seperti dijangka, jentera itu hadir bersama pilihan aksesori yang cukup luas.

Motosikal itu akan diperkenalkan kepada umum pada acara EICMA 2018 di Milan dan dijangka tiba di pasaran Eropah awal tahun depan.

GALERI

Google ads
Back to top button