Artikel PilihanBuletin

APA KHABAR NISSAN SKYLINE? INI MODEL TERBARU DI PASARAN

Sejarah Skyline sebenarnya sangat panjang. Ia mula dikeluarkan di bawah syarikat Prince Motor Company pada tahun 1957. Kemudian pada tahun 1967 barulah Skyline berada di bawah Nissan selepas syarikat itu bergabung dengan Prince.

Satu perkara penting dalam siri-siri Skyline ialah model ini tetapi dipengaruhi oleh pereka dan juruteranya iaitu Shinichiro Sakurai sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 2011.

Skyline tidak selalunya berkisar tentang rekaan sporti dan aerodinamik sahaja. Model ini unik kerana ia mengikut peredaran masa. Dari bentuk klasik dengan pengaruh Amerika Syarikat kepada kereta penumpang marhaen sehinggalah menjadi kereta sport ikonik.

Satu lagi perkara unik tentang Skyline ialah ia cemerlang di litar lumba. Kemudian satu persoalan yang hendak ditanya kepada pembaca, apa jadi kepada Skyline selepas model R34?

Di sinilah bermulanya Nissan kembali kepada satu episod silam Skyline iaitu pengkelasan semula model ikonik ini menjadi kereta penumpang.

Nissan memisahkan jenama Skyline, siri R, dan GT-R kepada dua bahagian. Di sinilah lahirnya GT-R 35 dan siri-siri kereta penumpang Skyline seperti V35 hingga HV37 sekarang ini.

Selepas peminat dunia automotif disajikan dengan pelbagai siri R34 dari GT-R hingga GT-R NISMO Z-Tune, Nissan menarik brek dan meperkenalkan V35 yang mengubah langsung tradisi Skyline.

Nissan Skyline V36

Tiada enjin straight six, tiada pengecas turbo dan tiada varian GT-R. Perubahan ini dibuat Carlos Ghosn yang mahukan Skyline terarah kepada segmen sport mewah.

Apa yang dirancang Carlos Ghosn memang betul dilaksanakan. Sejak tahun 2001 Skyline disusun semula memasuki segmen premium dan menariknya terdapat satu varian dikenali sebagai Skyline Crossover.

Bayangkan Skyline Crossover? Model ini dikenalkan pada tahun 2009 dan ia boleh dibeli di negara kita melalui pengimport bebas. Sekali lagi bayangkan apa kata peminat selepas dijamu dengan R32, R33, R34 tiba-tiba Skyline tampil dengan imej sebuah crossover.

Nissan Skyline Crossover

Di Jepun Skyline V35 langsung diabaikan oleh penala terkenal. HKS, Top Secret, Mines terus fokus kepada R32 – R34 sebagai projek mereka. Top Secret ada juga menala V35 tetapi menggantikan enjin VQ35DE kepada VK45DE V8 turbo berkembar.

Misi Skyline tidak terhenti, ia diganti dengan model baharu V36 pada tahun 2006 dan setahun selepas itu Nissan memperkenalkan 50th Limited Edition sempena ulangtahun lima dekad Skyline.

Skyline V36 berada lama di pasaran iaitu sehingga tahun 2014 dan model HV37 diperkenalkan pada tahun yang sama.

Skyline V37 – Tiada lagi nama Nissan.

Sekali lagi Nissan bereksperimen, kali ini langsung nama Nissan tidak digunakan dan cukup dengan Syline sahaja. Pada tahun 2016 Nissan mengeluarkan Skyline 60th Limited bagi meraikan ulangtahun model bersejarah ini.

Perasan sesuatu dengan Skyline HV37? Iya model ini berkongsi dengan Infiniti Q50 dan bermakna turut juga menggunakan enjin 2.0 liter turbo yang dibekalkan Mercedes-Benz. Bukan sahaja enjin Mercedes-Benz, Skyline turut menggunakan enjin VQ35HR dengan motor hibrid.

Jadi bagaimana? Jika anda peminat sejati Skyline apa pendapat anda tentang dua generasi model ini? Bercampur-baur? Syukurlah Nissan meninggalkan kepada peminat legasi prestasi Skyline pada GT-R 35.

BACA: INI AYAHANDA GT-R50, NISSAN SKYLINE 2000 GT-R 1972

BACA: TAHUN 1964 – DI SINI LEGENDA SKYLINE BERMULA & MENAIKKAN SEMANGAT BANGSA JEPUN

Kredit/hakcipta foto: Nissan

Nissan Skyline Hakosuka GT-R. Legenda!
Google ads
Back to top button