Artikel Pilihan

APAKAH TEKNIK PALING SUSAH DALAM PEMANDUAN? BUANG EGO…

“Abang, saya nak belajar driving. Boleh saya tahu teknik apa yang paling susah?”

“Boleh” saya jawab. “Tapi sebelum tu cuba teka.”

Dia teka rally. Saya kata salah.
Dia kata drift. Saya kata salah.
Dia kata teknik endurance race. Pun saya kata salah.

Dia kata Gymkhana dan sampai jawapan sebut Left Foot Brake lah, Late braking lah, opposite lock lah. Trail braking lah.

Saya kata, “Teknik yang paling susah dan sukar ialah teknik mengawal ego pemandu.”

Ramai di kalangan pemandu yang terlibat di dalam pelbagai insiden, selain kecuaian dan ketetapan ilahi ialah disebabkan kesukaran untuk mengawal ego.

Baik di atas jalan raya mahupun di litar lumba. Ego juga bukan sahaja meranapkan pemandu tetapi ego juga merosakkan diri ketika “memimpin” diri, keluarga dan syarikat.

Elakkan kita bersikap ego di jalan raya. Kesan sikap ego ini tidak boleh tengok orang lebih dari dia.

Sifat ingin menunjuk-nunjuk kenderaan, ingin tunjuk skil pemanduan, ingin tunjuk bunyi ekzos, ingin “impress” penumpang serta kadang kala “excited” dengan kereta atau motor yang baru dibeli atau boleh melalui proses “upgraded”.

Sifat sombong atau ego bermakna membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan. Ia merupakan sifat batin (mazmumah) yang paling keji. Bahkan ia adalah sifat batin yang sangat jahat.

Namun, jika hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) tidak lama dulu dipegang, kita mempunyai alasan kuat untuk berasa khuatir terhadap sikap pemandu kita.

Kajian itu mengukur tahap keberangan 5,248 pemandu pelbagai kenderaan di lebih daripada 103 daerah di seluruh negara.

Pemandu kita mudah berang dan gagal mengawal emosi ketika memandu. Berdasarkan kajian tadi, 18 peratus atau 2.4 juta daripada 13.3 juta pemandu kita berada pada kategori berang aras tinggi.

Perangai mereka bertukar menjadi agresif sehingga sanggup melakukan tindakan bekas dengan membuli pengguna jalan raya lain atau mengejar pemandu yang dimarahi.

Sabar sebahagian daripada iman, tetapi itu dianggap tidak lebih sebagai slogan.

Pemandu kita mudah marah, antaranya disebabkan pelakuan buruk pemandu lain, pemanduan tidak beradab dan berhemah, kehadiran polis, pemanduan perlahan dan sekatan jalan raya.

Segelintir pemandu seolah-olah berasa diprovokasi jika pemandu lain memintas kenderaan mereka atau memandu terlalu perlahan.

Kalau pemandu kita menjaga perangai, disiplin dan emosi, sudah pasti, jumlah kes buli dan kemalangan di jalan raya tidak akan meledak.

Mari kita bermuhasabah dan memperbaiki diri. Kita perlu insaf dan akui bahawa kita manusia yang amat daif dan lemah.

Segala kehebatan dan kelebihan yang ada pada diri kita adalah anugerah daripada-Nya dan bisa ditarik balik bila-bila masa sahaja.

Video ini saya terima dari kenalan dan boleh kita jadikan panduan untuk tidak memandu laju sekalipun kita memandu kereta jutaan ringgit. Kita tidak boleh melawan aturan fizik. “We cannot defy the law of physics.”

Semoga perkongsian ini ada manfaat untuk semua insyAllah. Yang baik dari Allah dan buruk dari saya.

Tulisan ini diambil dari kebenaran dari Facebook Tuan Azad Jasmi

Google ads
Back to top button