Buletin

ATAS PADANG POWER, DALAM GARAJ BERMEGAH – KOLEKSI KERETA MEWAH LIONEL MESSI CECAH RM260 JUTA

Pemain bola sepak kedua terkaya di planet ini, Lionel Messi memiliki barisan kereta mewah dengan nilai koleksi lebih AS$60 juta (RM260 juta).

Selepas perpindahan pemain Argentina itu ke PSG dari kelab FC Barcelona, ​​dia kini memperoleh gaji tahunan kira-kira AS$75 juta (RM332 juta), tidak termasuk aliran tunai melalui penajaan.

Dia menduduki tempat kedua dalam senarai pemain bola sepak yang berpendapatan tertinggi di dunia selepas pesaingnya Cristiano Ronaldo memperoleh kira-kira AS$125 juta (RM554 juta) daripada gaji dan tajaan.

Dengan gaji sebegitu besar, Messi menjalani gaya hidup mewah yang merangkumi pelbagai jenis kereta mewah di garajnya.

Mari kita ketahui kereta yang dipandu oleh pemain bola sepak terbaik dunia 7 kali itu.

Pertama sekali ialah Ferrari 335 S Spider Scaglietti bernilai AS$36 juta (RM159 juta). Messi membeli kereta itu dalam satu acara lelongan pada harga AS$36 Juta (RM159 juta). Siapa yang mendapat tempat kedua dalam lelongan? Cristiano Ronaldo.

Juga dikenali sebagai ‘prancing horse of 1957’, kereta itu dikuasakan oleh enjin 4.0L aspirasi semulajadi V12 dan boleh mencapai kelajuan tertinggi 300km/j.

Satu lagi model Ferrari yang Messi gunakan ialah Ferrari F430 Spyder. Dia membayar AS$164,490 (RM727,621) untuk model istimewa Ferrari ini. Ferrari F430 Spyder dikuasakan oleh enjin Ferrari F136 E V8 4.3 L dan menjana 503hp.

Gergasi pembuatan kereta Jerman, Audi pernah menaja FC Barcelona sehingga 2019. Maka tidak hairanlah bahawa sebagai bekas pemain Barcelona, Messi memiliki kereta Audi. Malah, dia memiliki tiga buah kereta iaitu Audi RS6 yang berharga AS$108,000 (RM477,738), Audi A7 bernilai AS$69,200 (RM306,106) dan Audi Q7 pada harga AS$54,590 (RM24,2850).

Selain Ferrari 335 S Spider Scaglietti, Messi turut memiliki kereta sport eksotik Itali Pagani Zonda, edisi Tricolore. Kereta itu menggunakan khidmat enjin 7.3L V12 yang dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan. Warga Argentina itu membayar sekitar AS$2 juta (RM8 juta) untuk meletakkan kereta tersebut di garajnya.

Mercedes SLS AMG bernilai AS$642,490 (RM2.8 juta) ialah sebuah lagi kereta eksotik dan bertaraf dunia dimiliki Messi. Mercedes itu mendapat enjin 6.2 liter DOHC V8 yang memberikan prestasi maksimum. Tidak dinafikan ia adalah salah satu kereta paling cantik dalam koleksi Messi.

Messi sering dilihat menggunakan Maserati Gran Turismo MC Stradale di Argentina. Kereta itu mempunyai enjin 4.7 liter V8 dan ia menghasilkan 450hp dan tork 510Nm. Harga sebuah Maserati Gran Turismo MC Stradale ialah AS$242,100 (RM1 juta).

Range Rover ialah salah satu kereta SUV paling mewah dan mahal di dunia. Namun tidak mengejutkan jika Messi merupakan pemilik dua model Range Rover iaitu Range Rover Vogue yang berharga sekitar AS$200,000 (RM884,700) dan Range Rover Sport yang dijual pada harga AS$69,500 (RM307,433).

Messi membeli Cadillac lapan tempat duduk ini pada harga AS$75,195 (RM332,625) yang sempurna untuk lima sekeluarga. Cadillac Escalade dikuasakan oleh enjin V8 berkuasa 420hp dan dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan.

Terakhir sekali ialah kereta paling murah dalam koleksi Messi iaitu Lexus RX 450h dan Mini Cooper. Lexus berharga sekitar AS$46,800 (RM207,019), manakala Mini Cooper pula berharga sekitar AS$19,733 (RM87,288).

Google ads
Back to top button