Buletin

MCLAREN TERPAKSA JUAL KOLEKSI KERETA LUMBA UNTUK DANA PEMBANGUNAN ARTURA

Pada tahun lepas, McLaren telah pun melancarkan supercar hibrid Artura, dan model tersebut juga telah diperlihatkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia beberapa bulan yang lalu.

Membimbangkan apabila McLaren masih lagi belum menghantar walau satu unit Artura kepada pelanggan mereka.

Ini kerana McLaren bukan sahaja berdepan dengan masalah kekurangan cip semikonduktor seperti kebanyakan pengeluar, mereka turut berdepan dengan masalah baharu.

Berdasarkan laporan Automotive News, supercar hibrid McLaren Artura itu memerlukan naiktaraf teknikal sebelum ia dibenarkan untuk memasuki fasa produksi, dan proses tersebut sememangnya memerlukan dana yang besar.

Ini menyebabkan McLaren terpaksa menjual sebahagian daripada koleksi kereta-kereta lumba bersejarah mereka.

Pemegang saham terbesar McLaren, Mumtalakat Holding telah membeli sebilangan unit kereta bersejarah itu dengan nilai $123 juta, namun tidak dapat dipastikan model apakah yang telah dilepaskan oleh McLaren kepada pembeli tersebut.

Itu pun masih tidak mencukupi, dan McLaren kini sedang dalam perbincangan dengan semua pemegang kepentingan berhubung langkah permodalan semula yang diperlukan.

Sepanjang tempoh sembilan bulan, McLaren mencatatkan kerugian berjumlah $247 juta, peningkatan angka berbanding kerugian sebanyak $84 juta pada tahun lalu.

Aset syarikat itu sehingga akhir suku ketiga tahun ini menurun kepada $106 juta, penurunan besar berbanding nilai $208 juta sebelum ini. – Automotive News

Google ads
Back to top button