Buletin

MERCEDES-BENZ TERUS KUASAI SEGMEN MEWAH DI MALAYSIA – JUAL 3,335 UNIT PADA Q1 2018

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dilihat meneruskan momentum positif apabila berjaya menjual 3,335 kenderaan pada suku pertama tahun ini.

Angka itu membolehkan MBM mengungguli pasaran segmen kenderaan mewah di Malaysia.

Buat masa ini, MBM menguasai 2.8 peratus pasaran kenderaan di Malaysia apabila menjual sebanyak 1,200 unit kenderaan pada Januari, diikuti oleh 1,185 unit pada Februari 2018.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran, Kereta Penumpang MBM, Mark Raine memberitahu suku pertama tahun ini adalah yang terbaik selepas mencatat peningkatan 13.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Portfolio MBM kini terdiri daripada lebih daripada 50 varian kenderaan menarik. Ia didatangkan bersama pelbagai kempen untuk menarik pelanggan dan pastinya mampu memenuhi gaya hidup dan keperluan mereka.

“Jualan sepanjang suku pertama disumbang oleh kenderaan segmen limosin menerusi model C, E dan S Class yang terjual sebanyak 1,965 unit. Sementara kategori kompak pula mencatat jualan 596 unit,” kata Raine pada sidang media mengumumkan prestasi MBM pada suku pertama tahun 2018.

Raine berkata, segmen kenderaan utilti sukan (SUV) kekal meningkat dengan mencatatkan 675 unit jualan, menokok 13.6 peratus berbanding suku pertama tahun lalu. Segmen kompak dan SUV merekodkan pertumbuhan sebanyak lapan peratus

Bagi segmen kenderaan idaman (berprestasi) pula, MBM merekodkan pertumbuhan satu peratus berbanding suku pertama tahun 2017 dengan jualan 94 unit.

Dalam tempoh tiga bulan itu, para pengedar MBM telah menyelenggara lebih 36,000 kenderaan, naik 18 peratus berbanding tahun lalu. Keupayaan menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik itu didorong oleh rangkaian yang terdiri daripada 33 pengedar di seluruh negara.  

Bagi menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh, MBM, dilihat terus menawarkan penyelesaian pembiayaan dan insurans yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pelanggan. Hasilnya, MBSM telah mencatat portfolio lebih RM2.4 bilion.

Dari segi pengalaman digital pula, satu platform dikenali sebagai OneWeb memberi lebih kemudahan kepada pengguna menerusi ciri-ciri seperti Sistem Tempahan Pandu Uji, Kiraan Pembiayaan Mercedes-Benz dan carian pengedar berhampiran.

Google ads
Back to top button