Buletin

AUDI Q3 LEBIH SEGAR

Audi Malaysia mengalu-alukan ketibaan Audi Q3 yang menerima kemas kini lebih segar.  Versi facelift itu kini menetapkan satu penanda aras baharu dari segi rekaan, prestasi dan versatiliti dalam segmen SUV kompak premium.

Audi-Q3-kemaskini-mekanika  (3)

Perubahan itu merangkumi teras progresif tagline popular Audi iaitu ‘Vorsprung durch Technik’.

Pengarah Pemasaran Audi Malaysia, Rudi Venter berkata, walaupun keberadaan Audi Q3 di pasaran hanya beberapa tahun, namun ia adalah antara kenderaan terlaris Audi.

Audi-Q3-kemaskini-mekanika  (8)

“Kami amat teruja untuk memperkenalkan crossover kompak di Malaysia. Audi Q3 mempamerkan keupayaan off-road dan pada masa sama pemanduan setiap hari di bandar.

“Gabungan rekaan yang maskular bersama padanan prestasi dan ciri ergonomik jelas menjadikan Q3 sebagai juara dalam segmennya,” katanya.

Audi-Q3-kemaskini-mekanika  (1)

Dari segi saiz, dimensi Q3 masih sama dengan sebelumnya. Bagaimanapun, pihak Audi  melakukan penambahbaikan penampilan. Bermula dari ukiran gril Singleframe dengan dominasi garisan mendatar di depan dan belakang.  Rekaan itu menyerlahkan kelebaran kenderaan dan karakter garisan coupe dan ciri lilitan pintu belakang.

Lampu depan juga direka semula. Ia didatangkan standard dengan teknologi lampu xenon plus dan lampu LED nyalaan siang hari.

Audi-Q3-kemaskini-mekanika  (6)

Audi juga menambahbaik casis Q3. Hasil talaan kejuruteraan terbaik di Ingolstadt, casis yang lebih kukuh itu menawarkan lebih keselesaan di atas apa jua permukaan. Sistem pemilihan pemanduan Audi juga membolehkan pemandu menala respons pendikit enjin, transmisi dan stereng mengikut kehendak individu.

Beralih ke bahagian kabin, Q3 masih menawarkan keselesaan ruang yang luas. Rekaan yang ergonomik dan pertukangan unggul meningkatkan status premiumnya. Tempat duduk, tombol gear dan stereng yang dibalut kulit  bersama pedal shifter melengkapkan imej mewah. Kemasan aluminium dan sil pintu menyerlahkan imej premium dan memberikan suasana sporty kepada pemandu.

Audi-Q3-kemaskini-mekanika  (7)

Bahagian kargo juga boleh ditingkatkan daripada 460 kepada 1,365 liter dengan hanya melipat kerusi belakang.

Menyentuh tentang aspek infotainmen pula, Audi Q3 didatangkan standard dengan radio MMI®. Ia merangkumi  skrin TFT berwarna bersaiz 6.5 inci bersama sistem audio Audi enam saluran amplifier dan 10 unit pembesar suara.  Sebagai tambahan, Audi Q3 turut dilengkapi sistem start/stop (janaan semula tenaga bagi varian Q3 1.4 TFSI), Parking Aid Plus (sistem bantuan parkir dengan paparan imej 360 darjah bagi varian 2.0 liter), Hill-Start Assist, automatic luggage compartment lid, Electronic Stabilisation Control (ESC), Traction Control (ASR), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Electronic Differential Lock (EDL), Anti-lock Braking System (ABS) serta enam beg udara.

Audi-Q3-kemaskini-mekanika  (2)

Audi Q3 dijana oleh dua pilihan enjin iaitu 1.4 TFSI dan 2.0 TFSI quattro.

Varian asas 1.4 TFSI mampu menghasilkan kuasa 150hp dan tork setinggi 250Nm @ 1,500 – 3,000rpm.  Penghantaran kuasa ke roda dibantu oleh transmisi enam kelajuan S tronic.

Audi-Q3-kemaskini-mekanika  (4)

Audi Q3 2.0 TFSI quattro pula  menawarkan kuasa 180hp dan tork maksimum 320Nm @ 1,400 – 3,900rpm. Padanan kotak gear tujuh kelajuan S tronic memberikan hantaran kuasa yang lancar ke semua roda.

Audi Q3 ditawarkan dengan lima warna pilihan iaitu putih, perak, biru, coklat dan hitam. Tempahan sudah dibuka dengan harga jualan Audi Q3 1.4 TFSI ialah RM 217,900  dan Audi  Q3 2.0 TFSI quattro dijual pada harga RM 252,900 seunit.

Informasi lanjut, layari www.audi.com.my.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button