Buletin

CHERY DEDAH PELAN GLOBAL BAHARU DI AUTO SHANGHAI 2025

Chery membuka tirai Auto Shanghai 2025 dengan pengumuman pelan jangka panjang yang cukup mencuri perhatian, selaras dengan temanya “Navigating the Future”.

Pelan tersebut merangkumi pengenalan jenama dan model baharu, perluasan portfolio teknologi, serta sasaran jualan global mencecah satu juta unit dalam masa dua tahun.

Jenama automotif dari China itu menegaskan komitmennya terhadap nilai “Selamat dan Mesra Keluarga”, dengan teknologi hibrid sebagai teras utama strategi pertumbuhan global.

Dalam usaha untuk menempatkan dirinya dalam kelompok 10 pengeluar kenderaan terkemuka dunia, Chery bergantung kepada kekuatan R&D bertaraf dunia, serta rangkaian pengeluaran dan perkhidmatan global yang semakin kukuh.

Di Auto Shanghai, Chery mempamerkan barisan SUV utama seperti TIGGO 7, TIGGO 8 dan TIGGO 9, yang digerakkan oleh sistem Chery Super Hybrid (CSH).

Sistem ini menampilkan enjin hibrid generasi kelima dengan kecekapan haba 44.5% dan sistem DHT tanpa gear dengan kecekapan pemindahan kuasa setinggi 98.5%.

Gabungan ini menawarkan jarak pemanduan lebih 1,400 km – satu angka yang menarik perhatian dalam segmen kenderaan hibrid masa kini.

Ciri keselamatan turut diperhebat menerusi sistem perlindungan bateri Guardian Battery Safety, yang direka untuk bertahan dalam keadaan ekstrem dari segi cuaca dan rupa bumi, sekaligus memperkukuh reputasi Chery sebagai jenama yang mementingkan keselamatan keluarga.

Model TIGGO 9 CSH dan ARRIZO 8 CSH turut mencuri tumpuan apabila berjaya melengkapkan peringkat pertama cabaran “Endless Horizon Worry-Free Voyage” dengan catatan penggunaan bahan api hanya 4.2L/100km dalam mod bateri rendah.

Dari segi prestasi pasaran, Chery menunjukkan momentum positif dengan jualan global mencecah 640,000 unit tahun lalu.

Model TIGGO 7 kekal sebagai SUV A-segmen terlaris, manakala jenama Chery sekali lagi diiktiraf sebagai jenama automotif China No.1 di luar negara oleh firma penyelidikan Kantar.

Penembusan ke pasaran Eropah, termasuk pengeluaran tempatan di Sepanyol, membuktikan pendekatan “In somewhere, For somewhere” yang mengutamakan solusi tempatan untuk keperluan pasaran spesifik.

Peluasan Portfolio: MPV, Trak Pikap & Tenaga Baharu

Chery turut mengambil peluang memperkenalkan segmen baharu termasuk MPV dan trak pikap. Yang paling menonjol ialah debut global siri trak pikap HIMLA, diinspirasikan daripada kekuatan dan keteguhan banjaran Himalaya.

HIMLA ditawarkan dalam pelbagai varian termasuk petrol, diesel dan tenaga baharu, dengan penekanan terhadap keupayaan lasak, kecekapan tenaga serta keselesaan seperti sebuah SUV premium.

Di zon teknologi, Chery mempersembahkan robot pintar AiMOGA dan anjing robotik interaktif, menampilkan kemampuan sokongan kenderaan, penjejakan visual dan interaksi suara masa nyata. Teknologi ini menonjolkan pendekatan Chery terhadap mobiliti pintar berteraskan AI, yang bukan sahaja praktikal tetapi juga menghiburkan.

Dengan gabungan inovasi teknologi, strategi globalisasi dan penawaran produk yang semakin matang, Chery tampil sebagai pemain serius dalam dunia automotif moden, bersedia untuk bersaing dalam era elektrifikasi serta kecerdasan buatan.

Google ads
Back to top button