Buletin

AUDI URBANSPHERE CONCEPT – MODEL AUDI PALING BESAR, MODEN, SWAPANDU TAHAP 4

Audi Urbansphere merupakan model konsep ketiga yang diperkenalkan secara rasmi selepas kemunculan model Skysphere dan Grandsphere sebelum ini.

Urbansphere direka di studio Audi yang terletak di Beijing dan Ingolstadt, bertujuan untuk memenuhi keperluan para pelanggan yang berpotensi terutama di bandar-bandar mega, seperti China.

Sama seperti dua model konsep terdahulu, Urbansphere menggunakan asas daripada Premium Platform Electric, dengan kapasiti bateri 120 kWh yang membolehkan pergerakan sejauh 750 km.

Dua motor elektrik dibekalkan, memberikan kuasa setinggi 396 hp dan 690 Nm, namun menurut Audi, ia bukanlah direka untuk kepantasan pergerakan.

Saiz Urbansphere amat besar, malah ia merupakan model Audi yang terbesar pernah wujud dengan dimensi sepanjang 5.51 meter.

Ruang kabin Urbansphere pula ‘meniru’ elemen yang ada pada Lexus LM, di mana hanya empat orang sahaja yang boleh muat pada satu-satu masa.

Disebabkan saiz yang besar, kabin Urbansphere menawarkan ruang yang sangat besar dan selesa, dengan rekaan kerusi yang boleh dibaringkan sehingga 60 darjah, dan rekaan penahan kepala yang melengkung dan mempunyai pembesar suara terbina.

Penumpang depan dan belakang diberikan akses kepada skrin infotainmen jenis jernih yang ‘turun’ daripada siling, di mana ia boleh digunakan sebagai paparan telesidang atau menonton filem.

Audi Urbansphere menyokong sistem swapandu Tahap 4, jadi perkakasan memandu seperti roda stereng, pedal pendikit dan kluster instrumen boleh disembunyikan sekiranya sistem tersebut diaktifkan.

Pintu sisi pula mempunyai mekanisme bukaan jenis suicide, di mana lampu LED ‘karpet merah’ akan terpancar di atas tanah saat pintu dibuka, dan tempat duduk akan dipusingkan ke arah keluar bagi memudahkan urusan keluar masuk.

Reka bentuk luaran pula menggandingkan elemen minivan dan crossover, dan ia juga menampilkan rekaan jeriji pada bahagian depan dan belakang.

Jika dilihat dengan lebih dekat, ia sebenarnya merupakan gugusan lampu LED berbentuk segitiga yang boleh bercahaya bergantung kepada kegunaan, seperti contoh lampu utama dan lampu belakang, atau paparan mesej kepada pengguna jalan raya yang lain.

Google ads
Back to top button