
ISTILAH KERETA ELEKTRIK MEMENINGKAN KEPALA ANDA?
Disebabkan kereta elektrik sudah mendapat perhatian dengan pengenalan dan dasar kerajaan yang lebih mesra, maka jualan dan pemilikan kereta elektrik mulai meningkat. Untuk berubah daripada menggunakan kereta yang menggunakan enjin pembakaran dalam kepada kereta elektrik, banyak perkara teknikal yang kita perlu ambil tahu.
Sebagai contoh, sebuah kereta sedan atau kompak dengan enjin pembakaran dalam mampu milik datang bersama kapasiti tangki sebesar 40 liter. Ini disebabkan kita boleh melihat seliter petrol atau diesel secara fizikal KALAU tangki bahan api kita dihasilkan dengan bekas lutsinar.
Kita tidak mengira tenaga kimia yang tersimpan dalam tangki bahan api kereta kita. Satu liter petrol memiliki sehingga 8.9 kWh tenaga kimia, ini bermakna satu tangki petrol dengan kapasiti 40 liter ada sekitar 356 kWh.
Manakala 1 liter diesel mengandungi tenaga kimia sekitar 10kWh dan satu tangki 40 liter diesel mengandungi sekitar 400 kWh tenaga kimia. Tapi jika anda pergi ke stesen minyak dan meminta 200kWh bahan api di kaunter, anda mungkin dianggap gila atau anda menerima sepakan percuma di halkum anda.
Kita hidup di dalam masyarakat yang telah lama menerima bahan api mestilah diukur dalam liter. Jadi adalah biasa untuk anda berasa pening dengan unit ukuran kereta elektrik. Ini kerana kereta elektrik datang dengan bateri ion lithium memiliki kapasiti tenaga yang berbeza dan diukur dalam unit kWh.

Semakin tinggi nilai kWh, semakin mahal kereta elektrik tersebut dan ia mampu pergi lebih jauh. Sebagai contoh Hyundai Kona Electric e-Plus datang dengan kapasiti bateri 39.2 kWh mampu dipandu sejauh 305km untuk satu pengecasan penuh dijual pada harga RM 170,000. Bagi varian e-Max ia datang dengan bateri sebesar 64kWh mampu dipandu sejauh 484km tapi dijual pada harga RM 200,000.
Kapasiti bateri diukur dalam kWh boleh ditafsirkan dalam 2 keadaan. Sebagai contoh 64kWh membawa maksud kandungan tenaga dalam bateri boleh digunakan untuk menghasilkan 64kW dalam masa sejam. Atau ia boleh membekalkan tenaga 1kW selama 64 jam. Mungkin juga bateri ini boleh menghantar 8kW selama 8 jam
Semuanya boleh dengan syarat kandungan tenaga tadi tidak melebihi 64kWh. Bagi kereta elektrik, elemen utama yang menggunakan kuasa elektrik ialah motor elektrik yang boleh diukur kuasa maksimum yang digunakannya. Sama seperti kereta, kuasa motor elektrik diukur dalam kW atau hp (kuasa kuda)
Kereta elektrik juga akan datang dengan pengecaj atau on board charger yang menggunakan arus ulang alik dan juga arus terus (DC Fast Charging). Bagi kegunaan rumah yang menggunakan wallbox 7.2kW, faktor masa untuk mengecaj dipengaruhi oleh 2 faktor utama iaitu saiz bateri dan kapasiti pengecaj.
Dengan menggunakan Hyundai Kona EV e-Lite berkapasiti 39.2kWh sebagai contoh dan dicaj dengan menggunakan wallbox 7.2kW, secara teori ia mengambil masa 6.5 jam untuk satu pengecasan penuh. Kona EV e-Plus dengan on board charger 11kW pula hanya mengambil masa 4.5 jam bagi satu pengecasan penuh