Buletin

FERRARI 296 GTS – 296 GTB VERSI BUMBUNG BOLEH LIPAT, 830 HP/740 NM

Ferrari 296 GTB merupakan model supercar pertama Ferrari yang dilengkapi dengan nadi V6 hibrid, dan kini ia hadir dengan sebuah model pelengkap, merangkap versi Spider kepada GTB, iaitu 296 GTS (Gran Turismo Spider).

Model 296 GTS ini secara asasnya didatangkan dengan rekaan bumbung jenis retractable hardtop (RHT) yang mampu mengekalkan rupa paras asal sama seperti model 296 GTB.

Sistem bumbung retractrable ini memerlukan masa sekitar 14 saat untuk dibuka dan dipasang semula pada kelajuan 45 km/j.

Secara kasarnya, itulah perbezaan yang ketara antara 296 GTB dan 296 GTS.

Ini kerana dari kilang, ia masih lagi mengekalkan nadi V6 hibrid 2.9 liter yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 830 hp dan daya kilas 740 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat dan 0-200 km/j dalam masa 7.6 saat.

Kelajuan maksimum adalah sekitar 330 km/j, atau sehingga 135 km/j jika anda memilih untuk melakukan pemanduan senyap (elektrik) dengan jarak sehingga 25 km sahaja.

296 GTS dengan pakej Assetto Fiorano

Di sebalik rupa paras yang hampir sama itu, Ferrari sebenarnya turut menitikberatkan aspek ketegaran casis disebabkan oleh struktur bumbung yang boleh dibuka itu.

Jika dibandingkan dengan model 296 GTB, 296 GTS sebenarnya memiliki kelebihan berat 70 kg sahaja, meskipun dengan penambahbaikan dibuat terhadap casis Spider itu tadi.

Sama seperti 296 GTB, 296 GTS juga boleh dipadankan dengan pakej opsyen Assetto Fiorano di mana ia merangkumi penyerap hentak boleh laras Multimatic, penggunaan bahan ringan gentian karbon yang meluas, serta tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R.

Google ads
Back to top button