AXIA MASA DEPAN
Nampaknya acara Tokyo Motor Show ke-44 akan menjadi pusat pameran besar bagi Daihatsu mempamerkan jentera masa depannya. Difahamkan pengeluar kereta Jepun itu bakal menghadirkan tidak kurang daripada empat model konsep.
Taruhan utama ialah Daihatsu D-Base yang mungkin menjadi generasi baharu Daihatsu Mira (dikenali sebagai Cuore) yang akan dilancarkan tahun depan.
Daihatsu D-Base ialah kereta bandar dengan panjang 3.4 meter (m), lebar 1.48m dan tinggi 1.49m. Daripada dimensi tepi, agak bernasib baik kerana pereka Daihatsu tidak terpengaruh dengan rekaan berbentuk kotak.
Daihatsu D-Base disokong oleh enjin 0.66 liter 3-silinder bersama pengecas turbo. Penghantaran kuasa daripada enjin dibantu oleh transmisi CVT. D-Base dikatakan sebagai jentera paling jimat bahan api dengan perjalanan sejauh 35.2km bagi setiap liter bahan bakar. Menurut Daihatsu, ia mampu dicapai menerusi penggunaan Teknologi Penjimatan Tenaga, sistem janaan semula brek dan penggunaan material lebih ringan.
Bahasa rekaan futuristik seakan-akan Toyota Prius 2016 dapat dilihat pada Daihatsu D-Base. Misalnya, dua lampu hadapan yang dihubungkan dengan garisan menegak kelihatan seperti sayap pesawat komersial. Gril juga memiliki gaya yang unik, manakala skirting sisi memiliki bentuk geometri bergerigi.
Rekaan rim yang aerodinamik juga nyata menarik. Ditambah dengan tayar bersaiz kecil yang menerima kesan cat seperti air yang mengalir. Hendal pintu belakang yang tersembunyi mengingatkan pada Chevrolet Spark. Sementara spoiler but di belakang juga adalah satu petunjuk kepada komponen produksi masa depan.
Secara keseluruhan, penampilan D-Base kelihatan seperti evolusi Mira sedia ada. Model konsep tersebut seolah sudah bersedia untuk pengeluaran. Sekiranya anda tidak mengambil kira tayar dan elemen reka bentuk yang berwarna-warni.
Sementara itu, kabin D-Base lebih futuristk melalui gabungan warna kelabu terang dan kemasan fabrik warna biru metalik. Papan pemukanya pula didominasi dengan skrin besar di tengah dan instrumen digital yang ditempatkan dalam panel berbentuk lingkaran. Dilihat juga kerusi pemandu adalah daripada jenis bucket dan tolok gear ditempatkan di kaki kiri pengemudi.
Dalam konteks pasaran domestik, kemungkinan D-Base bakal menjadi pengganti Axia di masa depan. Tunggu dan lihat.