MEREKALAH PEMBUAT SISTEM PACUAN SEMUA RODA (AWD) PALING AGUNG DI DUNIA
Tahukah anda bahawa Subaru ialah KING dalam teknologi pacuan semua tayar (AWD)?
Ya. Subaru bukanlah jenama besar dalam industri automotif antarabangsa. Kalau mengikut aspek jualan, Subaru jauh ketinggalan berbanding Hyundai dan Kia. Peugeot pun ada banyak model berbanding kereta yang dihasilkan oleh Subaru.
Fuji Heavy Industries, (kini dikenali dengan nama Subaru Corporation) lebih memberi tumpuan kepada kerja-kerja R&D berbanding pemasaran. Mereka bernasib baik kerana bernaung dalam konglomerat yang mempunyai latar belakang progresif.
BACA – ENJIN FB SUBARU GENERASI BARU
BACA – SUBARU IMPREZA LIMITED 555
Sekarang, Subaru di bawah pegangan Toyota. Mereka juga masih membuat kereta terbaik yang boleh dihasilkan oleh teknologi semasa. Tetapi tahukah anda asal usul kegemilangan sistem AWD Subaru ini?
Sewaktu industri dan teknologi Jepun rancak bergerak, sebuah syarikat pembekal kuasa elektrik di daerah utara Jepun, Tohoku Electric Power CO (TEPCO) mencari kenderaan yang sesuai untuk masuk ke kawasan lapangan mereka.
Masa itu mereka menggunakan Toyota Land Cruiser 4WD. Tetapi ia terlalu besar dan panjang untuk merentas lantai jalan bersalji. Waktu itu juga, Land Cruiser betul-betul drive serupa lori. Tak selesa dan tak praktikal untuk perjalanan jauh. TEPCO memerlukan sebuah kereta biasa/wagon dengan konsep sistem pacuan sama macam Land Cruiser.
FHI menyahut cabaran itu dengan membuat pengubahsuaian radikal pada kereta keluaran mereka. Model FF-1 Star juga sebenarnya agak canggih dengan enjin empat silinder dan transmisi manual empat kelajuan.
Kelebihan mereka ketika itu sebab kebanyakan pengeluar kereta masih menggunakan konfigurasi pacuan belakang. Sedangkan Subaru FF memang siap sedia dengan pacuan depan.
Differential belakang dan gandar belakang untuk jadikan sistem ini AWD diambil daripada model Nissan Bluebird 510 wagon. Ini kerana masa itu Datsun memiliki 20 peratus pegangan saham dalam FHI.
Kereta ini berada pada kedudukan 20mm lebih tinggi. Pada fasa keduanya, FHI mengambil keputusan menggantikan enjin asal kepada enjin boxer untuk mengecilkan saiz dengan keseimbangan berat.
Jika anda nak tau, enjin itu direka supaya ada ruang di atas penutup rocker untuk menyimpan tayar ganti. Canggih kan?
Dari sinilah bermulanya era kereta-kereta AWD buatan Subaru. Asas awal tadi jelas menjadi kelebihan buat FHI apabila hampir semua kereta model keluaran mereka dengan pacuan AWD.
Selepas terbukti bagus untuk sebuah kereta kecil digunakan oleh TEPCO, Subaru mengambil keputusan menjual model ini ke pasaran. Namun, tidak banyak yang berjaya dijual sebab kos pengeluarannya menjadikan kereta ini mahal.
Untuk TEPCO pula, sebanyak lapan unit dibina. Lebih ajaib lagi, ia masih digunakan selepas 40 tahun di lapangan terpencil daerah utara Jepun. Terdapat sebuah model yang masih bergerak aktif sehinggalah berlaku kejadian Tsunami besar pada 2011. Model bersejarah itu menjadi salah satu mangsa dan berakhirlah sejarah ditelan bencana alam…