Artikel Pilihan

BAGAIMANA KECEKAPAN TENAGA DALAM KERETA ELEKTRIK DIKIRA?

Sebenarnya sudah beberapa kali penulis cuba fahamkan isu dan pertanyaan ini, sebenarnya berapakah jumlah tenaga dan kecekakan sesebuah kereta elektrik? Tapi penulis tak berani menulis pasal isu ini disebabkan beberapa perkara teknikal dan pemahaman penulis masih lagi cetek berkenaan isu ini selain tidak memiliki kereta elektrik.

Pertama tenaga dalam kereta elektrik bukan disimpan dan diukur sama seperti kereta konvensional yang menggunakan petrol atau diesel. Kalau bahan api biasa kita boleh ukur dengan mengukur berapakah kandungan bahan api dalam liter. Katakanlah setangki ada 40 liter, dan mampu dipandu sejauh 660km.

Maka kita boleh ukur kecekapan kereta dengan cara mudah, bahagikan jarak perjalanan dengan jumlah liter bahan api. Sebagai contoh di atas kita boleh kata kecekapan bahan api ialah 16.5km bagi setiap liter. Makin tinggi makin bagus, sebagai contoh Honda City Hybrid i-MMD mampu mencapai sehingga 28km per liter petrol

BMW iX – 17.4 kWh/100km

Bagi sesetengah negara, ia menggunakan terma lain seperti purata penggunaan liter bagi setiap 100km. Bagi mendapat angka ini, nilai 100km perlu dibahagi dengan nilai 16.5. Maka anda mendapat 6.06 liter bagi setiap 100km. Bagi cara bacaan sebegini, makin rendah nilai adalah membawa maksud makin cekap kereta

Kita ambil balik Honda City Hibrid i-MMD tadi dengan bacaan 28km per liter, maka kita akan mendapat bacaan sekitar 3.57 liter bagi setiap 100km. Seperti yang penulis ulas sebelum ini, ada 3 pihak atau pentadbir yang menentukan kecekapan tenaga kenderaan samaada NEDC, WLTP atau EPA. Anda boleh baca maklumat lanjut di SINI

Jadi berbalik kepada kereta elektrik, jumlah tenaga yang disimpan ialah dalam bentuk kWh. Semakin tinggi nilai kWh maka makin besar jumlah tenaga yang disimpan oleh bateri EV. Sebagai contoh BMW iX xDrive40 yang pernah diuji oleh penulis menggunakan bateri sebesar 76.6kWH

Volvo XC40 Recharge – 18.2kWh / 100km

Manakala Volvo XC40 Recharge menggunakan bateri sebesar 78kWh iaitu lagi besar berbanding dengan bateri BMW iX. Bagi memudahkan pemahaman anda secara mudah, 1kWH boleh digunakan untuk menyalakan 10 mentol dengan kapasiti 100 watt selama sejam. Atau satu mentol berkuasa 1000 watt sejam. Atau 20 mentol berkuasa 50 watt selama sejam

Cara mudah untuk kita mengira kecekapan pengurusan tenaga elektrik ialah dengan mengira jarak perjalanan dan berapakah jumlah tenaga yang telah digunakan untuk sampai ke destinasi. Sebenarnya anda boleh mendapat maklimat tersebut dari paparan panel meter kereta elektrik dan telah dikira siap-siap dalam bentuk kwh/100km

Dari pengamatan penulis dengan menggunakan laluan yang sama dan cara pemanduan yang sama serta halaju yang hampir sama, BMW iX mencatatkan bacaan yang lebih rendah sedikit berbanding dengan Volvo XC40 Recharge.

Mengikut data bacaan, BMW iX mencatatkan 17.4kWh bagi setiap 100km perjalanan. Sebagai perbandingan pula Volvo XC40 Recharge mencatatkan bacaan sekitar 18.2kWh bagi setiap 100km. Walaupun hanya sedikit perbezaan, apa yang kita boleh rumuskan ialah BMW iX adalah lebih cekap berbanding dengan BMW XC40 Recharge.

Ok kalau anda nak dalam bahasa lebih mudah, 17.4kWh/100 ini bermaksud BMW iX boleh dipandu sejauh 5.747km bagi setiap 1kWh tenaga yang disimpan dalam bateri. Volvo XC40 Recharge pula boleh dipandu sejauh 5.49km bagi setiap 100kWh. Jadi nampak tak perbezaan di situ?

Jadi kenapa ada perbezaan penggunaan tenaga dan kecekapan?

Sama seperti kereta petrol atau diesel, kereta elektrik juga ada kecekapan yang tersendiri. Sebagai contoh, enjin yang digunakan dalam perlumbaan F1 mempunyai kecekapan sehingga 40%. Ini bermaksud, dari setiap liter petrol yang digunakan hanya 40% digunakan untuk menggerakkan kereta.

Bagi kereta jalanan biasa seperti hibrid, angka ini jatuh kepada 30%. Bagi kereta biasa angka ini terus jatuh kepada 25-20% sahaja. Ini bermakna, 80% tenaga akan terbuang ke persekitaran sebagai tenaga haba. Bagi kereta elektrik kecekapan sistem adalah serendah 63% dan setinggi 77%.

Jika dikira dengan tenaga elektrik yang dikumpu semula dengan proses brek regneratif, kereta EV boleh dikatakan 100% cekap tenaga. Tapi sebenarnya kereta elektrik akan kehilangan sedikit tenaga semasa proses pengecasan dibuat, termasuklah kehilangan tenaga semasa arus diubah dari ulang alik kepada arus terus melalui inverter dan juga ketika melalui on board charger.

Malah ketika digunakan, sistem pengurusan bateri akan menggunakan sedikit kuasa bagi memastikan suhu bateri berada dalam keadaan yang otimum untuk beroperasi dan pelbagai sistem komputer bagi membuat pengiraan dan memastikan kereta elektrik berfungsi.

Semua faktor ini akan mempengaruhi kecekapan penggunaan tenaga sesebuah kereta elektrik. Biasanya makin canggih satu sistem, makin cekap penggunaan tenaga. Jadi kalau anda memilih sesebuah kereta elektrik, salah satu faktor yang perlu diambil kira ialah kecekapan penggunaan tenaga selain daripada saiz bateri.

Google ads
Back to top button